Oleh Athirah Huda Zalhe
Jangan cuba main api dengan perkara yang sangat sensitif
BANGI
– Peristiwa darurat dari tahun 1948 hingga 1989 masih segar dalam
ingatan, bahkan memori ‘hitam’ bertempur dengan pengganas komunis
dirasakan seolah-olah baru dua, tiga bulan berlaku.
Bukan
mudah memori itu hendak dilupakan, malah terus kuat terpahat dalam
ingatan bekas-bekas anggota polis yang terbabit dalam pertempuran
menentang pengganas komunis diketuai pemimpin Parti Komunis Malaya
(PKM), Chin Peng ketika itu.
Namun,
laporan berita mengenai abu mayat pengkhianat negara itu dibawa masuk ke
Malaysia semalam, sungguh menyentap perasaan Presiden Persatuan Bekas
Polis Malaysia, Haji Hussin Awang Ngah.
“Selaku
Presiden Bekas Polis yang mempunyai keahlian seramai 140,000 orang,
bersama dengan Presiden Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sungguh
berduka cita dengan tindakan pihak tertentu membawa masuk abu mayat Chin
Peng, walaupun tahu dasar kerajaan tidak membenarkannya.
“Saya dan
rakan lain dalam polis pernah bertempur dengan komunis pada era 70-an,
80-an. Jadi, bagi saya setiap anggota keselamatan tidak kira polis atau
tentera pastinya rasa tercabar dengan tindakan itu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Tegas
Hussin, tindakan pihak berkenaan seolah-olah mencabar kewibawaan pasukan
keselamatan khususnya pesara-pesara polis dan tentera yang telah
bergadai nyawa berdepan pengganas komunis.
“Pesara
tentera dan polis yang kudung kaki dan ada yang peluru masih berada
dalam badan, termasuk waris mereka yang terkorban di medan perang pasti
tidak akan memaafkan perbuatan kumpulan berkenaan.
“Bahkan,
tindakan mereka membawa masuk abu mayat Chin Peng pada Hari Malaysia
juga memperlihatkan kumpulan itu sengaja mencabar kewibawaan dan
kedaulatan negara,” katanya.
Semalam,
rakyat digemparkan dengan laporan berita bahawa abu mayat Chin Peng atau
nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa masuk ke negara ini dua bulan lalu,
selepas enam tahun kematiannya.
Abu
mayatnya dilaporkan tiba di Ipoh pada 16 September lalu dan ditaburkan
di laut berhampiran Lumut, Perak serta sebahagian lagi di kawasan hutan
banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.
Serentak
itu, Hussin mendesak pihak kerajaan, khususnya Kementerian Dalam Negeri
supaya segera membuat siasatan terperinci terhadap individu yang
bertanggungjawab membawa masuk abu mayat itu secara rahsia.
“Kita
mahukan pihak yang bertanggungjawab ini dibawa ke muka pengadilan kerana
telah melanggar perjanjian dan ketetapan kerajaan.
“Saya
mewakili bekas polis dan anggota yang masih berkhidmat, mendesak KDN
buat siasatan terperinci. Sekiranya perlu, tak mustahil untuk kami
adakan bantahan dan serah memorandum kepada kerajaan,” katanya.
Beliau
menegaskan, walaupun hanya abu mayat tetapi nama Chin Peng sangat
memberi kesan hitam kepada semua pesara anggota keselamatan, termasuk
waris mereka.
“Tindakan
bawa masuk abu Chin Peng seperti mengiktiraf perjuangan komunis. Ada
keluarga yang menjadi balu di usia muda dan anaknya menjadi yatim. Ada
rakan-rakan kami yang cacat seumur hidup kerana pertahankan negara.
“Apa
perasaan mereka ketika ini? Isu ini sangat sensitif dan dekat buat
anggota keselamatan, termasuk saya. Apabila timbulkan perjuangan
komunis, ia memang mencabar kewibawan kami.
“Kalau
kami perlu pikul senapang lagi di usia ini, insya-Allah kami masih
mampu. Kita mohon rakyat jangan cuba main api kerana mereka tidak hadapi
pahitnya zaman darurat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan