KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata, surat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan tindakan tatatertib terhadap 2 ahli atas dakwaan rasuah perlu dirujuk kepada Lembaga Disiplin parti kerana ia adalah perkara serius.
Katanya, lembaga itu tidak mempertikaikan kandungan surat SPRM.
“Sebagai sebuah parti, kita perlu tegas dalam membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Kesilapan teknikal atau tidak itu cerita lain. Saya akan rujuknya kepada Lembaga Disiplin.” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata, Ketua PKR Bahagian Bera, Zakaria Abdul Hamid dan ahli PKR Pahang, Ismail Dulhadi boleh mengemukakan rayuan terhadap keputusan pemecatan mereka.
“Tetapi, kandungan surat itu adalah serius. Ia tidak cukup untuk pendakwaan, tetapi mereka beritahu kami untuk mengambil tindakan dan tunjukkan bukti.”
Zakaria dan Ismail dipecat susulan siasatan SPRM ke atas dakwaan rasuah terhadap mereka.
Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kassim dilaporkan berkata, SPRM menulis surat kepada parti itu pada 23 Okt lalu mengenai dakwaan salah laku ketika pemilihan parti tahun lalu, manakala Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, SPRM menasihatkan parti meneliti perkara itu dan mengambil tindakan disiplin sewajarnya.
Bagaimanapun, Zakaria berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai sebarang laporan yang dibuat kepada Lembaga Disiplin terhadapnya dan mendakwa parti bertindak tanpa mendengar penjelasannya.
Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki berkata, ketua cawangan laporan agensi itu terkhilaf mencadangkan tindakan tatatertib terhadap Zakaria dan Ismail.
Katanya, SPRM hanya perlu menghantar laporan salah laku kepada agensi kerajaan atau kementerian, bukannya parti politik.
Mengenai dakwaan Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin yang PKR mengambil tindakan secara pilih bulu, Anwar berkata, belum ada kertas pertuduhan dihantar kepada mereka daripada polis atau SPRM.
“Jika ada, kami akan ambil tindakan.”
Ditanya mengenai khabar angin satu usul menyokong Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad akan diusulkan pada 4 Dis nanti, Anwar berkata, beliau tidak dengar mengenai perkara itu.
“Usul sedemikian perlu dibawa ke Majlis Presiden Pakatan Harapan dan kami akan mendengarnya.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan