KUALA LUMPUR – Apa yang berlaku kepada Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan perlu dijadikan iktibar kepada penjawat awam supaya jangan percaya kepada kepimpinan Pakatan Harapan (PH).
Ini kerana menurut Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said, bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertanian Industri Asas Tani itu menjadi mangsa kepada kesilapan seorang menteri.
Menurut Mohd. Zaidi, semasa menteri terbabit mahu menyenaraikan tender RM1.4 bilion secara terbuka KSU terbabit sudah menasihatinya.
Namun selepas ditender secara terbuka namun Nafas tidak terpilih akhirnya menteri itu didakwa mahu ia tetap diberikan kepada Nafas.
Justeru, KSU terbabit diarahkan membuat surat kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya tender terbuka itu dibatalkan dan diberi secara terus kepada Nafas.
Surat itu kemudiannya diberi kepada Perdana Menteri oleh menteri dan akhirnya diluluskan.
Bagaimanapun selepas menjadi isu, dakwa Mohd. Zaidi, KSU menjadi mangsa dan dipersalahkan.
“Tak mungkin boleh berlaku tanpa restu menteri,” katanya semasa ceramah Muafakat Nasional Parlimen Permatang Pauh di Dewan Wisma Transformasi Permatang Pauh yang disiarkan secara langsung di Pulau Pinang malam ini.
Bagaimanapun Mohd. Zaidi tidak menyatakan daripada mana sumber ceritanya mengenai KSU terbabit.
Apapun, dakwanya, sekiranya PH masih diberi kuasa semakin ramai penjawat awam akan menjadi mangsa.
“Jadi kita perlu bangkit dan PH perlu tumbang sebelum PRU-15 atau desak mereka mengadakan PRU-15 segera kerana hak rakyat memilih kerajaan stabil demi kelangsungan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan