Oleh Fazleen Safina
Cadangan Nepal bukti bahasa Melayu boleh gah di negara serantau
BANGI– Kenyataan Dr Maszlee Malik bahawa pembelajaran subjek Bahasa Melayu
di Nepal kelak – sekiranya dipersetujui Kabinet Nepal – akan memberi
manfaat kepada rakyat negara itu sekiranya mahu bekerja di Malaysia agak
membimbangkan.
Ketua Pemuda Parti Barisan Jemaah
Islamiah SeMalaysia (Berjasa) Iqbal Hakim Abdul Razak berkata, Kerajaan
Malaysia perlu memastikan peluang pekerjaan yang wujud dalam negara
perlu diberikan kepada rakyat Malaysia dahulu sebelum dibuka kepada
orang luar.
Beliau berkata, polisi dan dasar kerajaan
Malaysia perlu jelas dalam bab menyediakan peluang pekerjaan yang
bermaruah untuk rakyat Malaysia.
“Tanpa menguasai bahasa melayu lagi pun, sudah terlalu ramai pekerja asing yang membanjiri negara.
“Menteri Sumber Manusia perlu tegas dalam
bab ini demi memastikan peluang pekerjaan berwibawa dan bermaruah untuk
rakyat Malaysia tidak sewenang-wenangnya dilepaskan kepada pendatang
asing,” katanya.
Terdahulu, Nepal bercadang memperkenalkan
Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran elektif di sekolah di negaranya,
bagi melengkapi pelajar dengan kemahiran berkomunikasi untuk menceburi
bidang profesional di Malaysia.
Dr Maszlee yang juga Menteri Pendidikan
difahamkan mengesyorkan supaya menubuhkan institut bahasa di negara Asia
Selatan itu, untuk mengajar BM kepada rakyat Nepal.
“Terdapat kira-kira 357,000 rakyat Nepal
bekerja di Malaysia ketika ini, terutamanya dalam sektor keselamatan
(pengawal keselamatan), pembuatan dan hospitaliti.
“Mengajar BM dan menubuhkan institusi
akan memberi manfaat apabila rakyat Nepal mahu bekerja di Malaysia,
kerana mereka akan mampu berkomunikasi dengan baik dan meningkatkan
kerjaya mereka,” kata Maszlee.
Menyambut baik hasrat Nepal, Iqbal
berbesar hati kerana ia mmembuktikan bahasa Melayu mulai dikenali dan
disebarkan di negara-negara serantau.
Beliau berkata, sejarah dunia menunjukkan
bahasa Melayu pernah menjadi Lingua Franca, bahasa sebuah tamadun yang
memimpin sosial, ekonomi dan ilmu di rantau nusantara bahkan di seluruh
dunia.
“Maka, usaha untuk melestarikan bahasa Melayu di negara-negara serantau wajar diberikan sokongan oleh kerajaan Malaysia.
“Selain diperluas pengajarannya ke
negara-negara serantau, bahasa Melayu perlu dilestarikan dalam negara
dengan lebih efektif dan berkesan.
“Dengan pelestarian bahasa Melayu yang
mantap dalam negara, maka negara-negara lain akan lebih tertarik untuk
mempelajari dan menggunakan bahasa Melayu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan