Oleh Athirah Huda Zalhe
Tak mustahil petualang jenayah scammer China akan terlepas
BANGI
– Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa
bertanggungjawab dan meletakkan jawatan susulan isu penahanan ratusan
warga China – dipercayai menjalankan aktiviti scam (penipuan) secara
dalam talian – Rabu lalu.
Naib
Presiden Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman
berkata, seramai 680 warga China yang ditahan di Cyberjaya baru-baru
ini, bukanlah angka kecil dalam konteks kesalahan di bawah Jabatan
Imigresen Malaysia (Imigresen), apatah lagi membabitkan jenayah penipuan
(scammer).
Justeru,
beliau menuntut Muhyiddin dan timbalannya, Datuk Mohd Azis Jamman
bertanggungjawab dalam kes itu, kerana menyifatkan jumlah tangkapan
berkenaan sebagai isu serius yang perlu diberi perhatian.
“Kita
tidak menolak kemungkinan petualang jenayah ini akan terlepas
berdasarkan rekod pihak Jabatan Peguam Negara yang diketuai Tommy Thomas
yang menghadapi pertuduhan salah guna kuasa.
“Kita
kesal kerana rule of law tidak diperlihat oleh kerajaan hari ini. Masa
depan negara gelap di bawah konsep undang-undang rimba PH,” katanya
kepada Ismaweb.net, hari ini.
Sebelum
ini, seramai 680 warga China yang berusia 19 hingga 35 tahun ditahan –
dipercayai menjalankan aktiviti scam (penipuan) secara dalam talian yang
berpusat di China dan disyaki sudah beroperasi sejak enam bulan lalu.
Ketua
Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, modus operandi
sindiket itu adalah menyasarkan mangsa di China dengan menawarkan
keuntungan yang tinggi dan pantas.
Siasatan
awal mendapati semua mereka tinggal di negara ini menggunakan pas
lawatan sosial (PLS) dan antara kesalahan dikenal pasti adalah melanggar
syarat pas, selain masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas yang sah
serta Seksyen tinggal lebih masa.
“Hampir
semua yang ditahan tidak dapat mengemukakan pasport dan hingga kini
tiada wakil atau individu hadir mengemukakan pasport mereka,” kata
Khairul Dzaimee.
Mengulas
lanjut, Mohd Hazizi menggesa kerajaan supaya mengetatkan syarat visa
bagi pelancong China, supaya isu seumpama ini tidak berulang lagi.
“Kita
menggesa kerajaan supaya mengetatkan syarat visa bagi pelancong China,
dan janganlah bersetuju dengan sebarang cadangan untuk memberikan
perjalanan tanpa visa kepada warga negara berkenaan,” katanya.
Terdahulu,
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi
memberitahu, syarat visa ketibaan (VOA) bagi pelancong dari China dan
India mungkin akan dilonggarkan, sebagai usaha meningkatkan jumlah
pelancong dari dua negara itu sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
“Ya
(mungkin longgarkan syarat), Saya tidak lihat sebarang masalah dalam
perkara tersebut. Kita hendak lebih ramai pelancong, jadi kita akan
mudahkan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan