tular
Kedudukan Wee Ka Siong semasa sidang media di Parlimen didakwa mencetuskan fitnah oleh RBA DAP.

KUALA LUMPUR – MCA meminta orang ramai supaya tidak termakan fitnah yang dilontar oleh Red Bean Army (RBA) DAP terhadap parti itu dan Pas.

Fitnah itu, dakwa Mike Chong berkaitan sidang media oleh Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bersama-sama beberapa Ahli Parlimen Pas ketika mempersoalkan ketelusan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam menangani kontrak kementerian itu.

Jurucakap MCA itu mendakwa RBA DAP telah memfitnah dengan mempersoalkan mengapa Ka Siong berada di depan dan Pas di belakang semasa berlangsung sidang media itu, seolah-olah Pas diperkudakan MCA.

Selain itu, RBA turut mempersoalkan mengapa Presiden MCA tidak memakai kopiah dan macam-macam lagi

“Percayalah kerana itu game biasa mereka dan bertujuan untuk mengalih perhatian kita (divert attention) daripada isu pokok, iaitu ketelusan kerajaan dalam mengendalikan kontrak melibatkan dana kerajaan sebanyak RM1.4 bilion

“Apa yang penting ialah sekarang kita memperkasakan kerjasama kita di atas semangat solidariti pembangkang, di mana kita akan memantapkan lagi barisan pembangkang bagi memperjuangkan nasib rakyat,” katanya.

Mike menambah, dalam kes ini, pembangkang akan bersama-sama mempersoalkan kemungkinan berlaku penyalahgunaan kuasa dalam kementerian tersebut serta memperjuangkan nasib kaum petani yang teraniaya di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Ini turut membuktikan gagasan Muafakat Nasional semakin mantap dan bersedia untuk menggantikan mereka yang tidak kompeten, tidak kredibel dan gila kuasa, ujarnya. – MalaysiaGazette