Khamis, 28 November 2019

Nama Chin Peng gamit memori `hitam’ perwira negara

Oleh Athirah Huda Zalhe

 

Jangan cuba main api dengan perkara yang sangat sensitif

BANGI – Peristiwa darurat dari tahun 1948 hingga 1989 masih segar dalam ingatan, bahkan memori ‘hitam’ bertempur dengan pengganas komunis dirasakan seolah-olah baru dua, tiga bulan berlaku.

Bukan mudah memori itu hendak dilupakan, malah terus kuat terpahat dalam ingatan bekas-bekas anggota polis yang terbabit dalam pertempuran menentang pengganas komunis diketuai pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ketika itu.

Namun, laporan berita mengenai abu mayat pengkhianat negara itu dibawa masuk ke Malaysia semalam, sungguh menyentap perasaan Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Haji Hussin Awang Ngah.

“Selaku Presiden Bekas Polis yang mempunyai keahlian seramai 140,000 orang, bersama dengan Presiden Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sungguh berduka cita dengan tindakan pihak tertentu membawa masuk abu mayat Chin Peng, walaupun tahu dasar kerajaan tidak membenarkannya.

“Saya dan rakan lain dalam polis pernah bertempur dengan komunis pada era 70-an, 80-an. Jadi, bagi saya setiap anggota keselamatan tidak kira polis atau tentera pastinya rasa tercabar dengan tindakan itu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Tegas Hussin, tindakan pihak berkenaan seolah-olah mencabar kewibawaan pasukan keselamatan khususnya pesara-pesara polis dan tentera yang telah bergadai nyawa berdepan pengganas komunis.

“Pesara tentera dan polis yang kudung kaki dan ada yang peluru masih berada dalam badan, termasuk waris mereka yang terkorban di medan perang pasti tidak akan memaafkan perbuatan kumpulan berkenaan.

“Bahkan, tindakan mereka membawa masuk abu mayat Chin Peng pada Hari Malaysia juga memperlihatkan kumpulan itu sengaja mencabar kewibawaan dan kedaulatan negara,” katanya.

Semalam, rakyat digemparkan dengan laporan berita bahawa abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa masuk ke negara ini dua bulan lalu, selepas enam tahun kematiannya.

Abu mayatnya dilaporkan tiba di Ipoh pada 16 September lalu dan ditaburkan di laut berhampiran Lumut, Perak serta sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Serentak itu, Hussin mendesak pihak kerajaan, khususnya Kementerian Dalam Negeri supaya segera membuat siasatan terperinci terhadap individu yang bertanggungjawab membawa masuk abu mayat itu secara rahsia.

“Kita mahukan pihak yang bertanggungjawab ini dibawa ke muka pengadilan kerana telah melanggar perjanjian dan ketetapan kerajaan. 

“Saya mewakili bekas polis dan anggota yang masih berkhidmat, mendesak KDN buat siasatan terperinci. Sekiranya perlu, tak mustahil untuk kami adakan bantahan dan serah memorandum kepada kerajaan,” katanya.

Beliau menegaskan, walaupun hanya abu mayat tetapi nama Chin Peng sangat memberi kesan hitam kepada semua pesara anggota keselamatan, termasuk waris mereka.

“Tindakan bawa masuk abu Chin Peng seperti mengiktiraf perjuangan komunis. Ada keluarga yang menjadi balu di usia muda dan anaknya menjadi yatim. Ada rakan-rakan kami yang cacat seumur hidup kerana pertahankan negara. 

“Apa perasaan mereka ketika ini? Isu ini sangat sensitif dan dekat buat anggota keselamatan, termasuk saya. Apabila timbulkan perjuangan komunis, ia memang mencabar kewibawan kami.

“Kalau kami perlu pikul senapang lagi di usia ini, insya-Allah kami masih mampu. Kita mohon rakyat jangan cuba main api kerana mereka tidak hadapi pahitnya zaman darurat,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.