Selasa, 8 Oktober 2019

K'jaan PH perlu tolak resolusi Kongres Maruah Melayu - Exco

MALAYSIAKINI

   

Kerajaan PH perlu menolak semua resolusi yang diluluskan dalam Kongres Kebangkitan Melayu (KMM) yang diadakan baru-baru ini, gesa Exco Selangor V Ganabatirau.

"Jika kita mahu menjadi negara yang bertamadun, sikap perkauman dan ucapan-ucapan kebencian mesti dihentikan. Kita mahu membina negara kita ini menjadi maju dan bukan mundur.

"Oleh demikian, saya menggesa kerajaan (PH) untuk menolak semua resolusi yang diluluskan dalam Kongres Maruah Melayu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Selanjutnya, Ganabatirau yang juga Adun Kota Alam Shah menegaskan hak sekolah vernakular telah termaktub dalam perlembagaan negara.

Beliau mengulas resolusi kluster pendidikan Kongres Maruah Melayu yang mengemukakan langkah memansuhkan sekolah aliran Cina dan Tamil sepenuhnya menjelang 2026.

"Ramai orang mengatakan bahawa perlembagaan mesti ditegakkan untuk memelihara hak istimewa dan maruah kaum tertentu tetapi apabila melibatkan soal hak-hak bukan Melayu yang termaktub dalam perlembagaan yang sama, orang akan mencabarnya," katanya lagi.

Sementara itu, Ganabatirau menempelak ucapan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang berkata orang Melayu terpaksa menerima "pendatang asing" demi untuk mendapatkan kemerdekaan daripada pihak British.

"Tiada siapa 'pendatang asing' di negara ini kerana kami lahir dan dibesarkan di sini. Inilah tanah air kami," katanya.

Menurut Adun DAP itu lagi, sokongan bukan Melayu telah memberi kemenangan kepada gabungan PH pimpinan Dr Mahathir pada PRU14.

"Seingat saya, sokongan pengundi Melayu kepada PH pada PRU14 adalah lebih kurang 20 peratus. Bermaksud 80 peratus lagi sokongan datang daripada bukan Melayu.

"Bagaimanapun, golongan bukan Melayu yang sama kini dirujuk sebagai 'pendatang asing' oleh orang yang sama yang pernah berkata bahawa sekiranya diberi peluang kedua beliau akan membetulkan kesilapannya," katanya.


Tiada ulasan: