Isnin, 2 September 2019

'Umno, PAS tak hasut orang Islam boikot produk bukan Bumiputera'

MALAYSIAKINI

   

Pemuda Umno Kelantan hari ini tampil menjawab kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang menggesa supaya Umno dan PAS mengecam usaha memboikot produk bukan Bumiputera.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata kedua-dua parti itu tidak pernah menghasut orang Islam atau kaum Melayu memboikot barangan mahupun produk bukan Islam.

Sebaliknya katanya kempen itu dilakukan oleh beberapa NGO.

“Umno dan PAS tidak sama sekali mengeluarkan sebarang kenyataan ataupun menghasut umat Islam, ataupun orang Melayu supaya memboikot barangan mahupun produk bukan Islam.

“Sebaliknya hanya ada kempen daripada NGO tertentu yang menyeru umat Islam di negara ini mengutamakan barangan keluaran umat Islam dan Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Lim yang juga menteri kewangan menggesa Umno dan PAS mengecam kempen memboikot perniagaan bukan bumiputera.

"Jika PAS dan Umno tidak menentang bukan Islam dan bukan Melayu, mereka harus mengamalkan pendirian yang sama mengecam kempen boikot produk bukan Bumiputera seperti itu," katanya seperti dilaporkan.

Kenyataan Guan Eng itu susulan daripada gerakan kempen di media sosial yang menggesa golongan Bumiputera memboikot produk yang dihasilkan oleh bukan Bumiputera.

Beberapa NGO turut tampil menyeru pengguna memboikot produk halal yang dihasilkan bukan Islam.

Kata Hariri, kenyataan Lim bertujuan mengalih perhatian dalam usaha mengembalikan sokongan masyarakat Cina kepada DAP, terutama dalam isu pelaksanaan tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Tambahnya, Guan Eng patut menumpukan tugas utamanya di Kementerian Kewangan bagi merangsang ekonomi negara dan memastikan pengurusan dana berhemah serta menjamin kekayaan negara diagihkan kepada rakyat.

“Apa yang jelas, Guan Eng gagal dengan strateginya mengurus kewangan negara yang menyebabkan rakyat telah kurang berbelanja di luar akibat daripada hutang negara yang meningkat dan peningkatan inflasi,” katanya lagi.


Tiada ulasan: