Jumaat, 27 September 2019

Inkues Adib: ‘Tunggu apa lagi, teruskan pendakwaan’

fazleen safina

 

AG patut bertindak pantas tapi pilih jalan sukar selesaikan kes: PPMM

BANGI– Tiada apa lagi yang perlu ditunggu melainkan meneruskan semula siasatan dan pendakwaan ke atas pihak yang terbabit dalam kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, tahun lalu.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, sejak awal lagi Peguam Negara sudah diminta bertindak pantas menyelesaikan kes berkenaan, namun memilih jalan ‘jauh’ untuk ia diselesaikan.

“Apakah ada agenda tertentu yang mahu dilaksanakan? Sudah ada perintah Mahkamah Tinggi Sivil mengenai pertikaian kes kuil tersebut, sudah ada persetujuan dan keputusan.

“Sekarang Koroner juga telah membuat keputusan. Jadi tunggu apa lagi?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bersyukur dengan keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam, beliau bagaimanapun mempersoalkan status keberadaan beberapa individu yang pernah direman dan dibebaskan atas jaminan sebelum ini.

“Bagaimana dengan siasatan ke atas mereka dan adakah Peguam Negara yang telah diarahkan menunjuk sebab kenapa tidak boleh disabitkan kerana menghina mahkamah akan memberi izin untuk pendakwaan atau tidak?,” soalnya.

Selepas 41 hari prosiding inkues dijalankan, Mahkamah Koroner hari ini memutuskan kematian Muhammad Adib yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya tahun lalu, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Koroner Rofiah Mohamad berkata, mahkamah menerima teori dikemukakan Prof Dr Shahrom bahawa kecederaan dialami Muhammad Adib adalah disebabkan perusuh menendang pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang mengena dada Allahyarham sehingga menyebabkan Muhammad Adib tersepit.

Sebanyak 30 saksi dipanggil termasuk beberapa saksi pakar memberi keterangan sepanjang inkues itu yang bermula pada 11 Februari lepas.

Antara saksi pakar yang dipanggil adalah Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, Perunding Kardiotorasik Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) Dr S.Anand dan Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid.

Sebanyak 137 bahan bukti dikemukakan dengan pelbagai hujahan dilontarkan oleh pihak terlibat sebelum prosiding berkenaan ditutup pada 24 Julai lepas.

Inkues dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya selaku pegawai pengendali Faten Hadni Khairuddin, manakala peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib, Syazlin Mansor, Mohd Kamaruzaman Abdul Wahab, Ahmad Taufiq Baharum, Yahaya Othman dan Zamri Ibrahim.


Tiada ulasan: