Perjuangan dan jasa perajurit dahulu tiada galang ganti: Khutbah
BANGI – Rakyat khususnya generasi muda diminta menyelami serta mengambil
iktibar keberanian dan semangat keperwiraan ditunjukkan perajurit yang
sentiasa di barisan hadapan mempertahankan negara pada satu masa dahulu.
Menerusi Khutbah Jumaat, Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (Jakim) berkata, dengan kemakmuran negara yang dikecapi
hari ini, ramai yang tidak sedar pengorbanan dan perjuangan golongan
perajurit yang tiada galang gantinya demi memastikan negara bebas
daripada penjajah dan ancaman musuh.
“Pemergian mereka adalah kehilangan yang
cukup dirasai serta tiada galang gantinya. Jasa mereka tidak sewajarnya
kita lupakan, kerana kita tidak akan kecapi apa yang ada kini sekiranya
bukan kerana pengorbanan mereka,” kata Jakim.
Dalam pada itu khutbah berkata, Islam mengiktiraf pahlawan tanah air ini sebagai mujahid agama, bangsa dan negara.
Oleh itu katanya, pahlawan hendaklah
meletakkan setiap langkah dan gerak laku dalam perjuangan mereka sebagai
amalan yang ikhlas dan penuh tanggungjawab agar mereka mendapat
penghormatan ketika hidup di dunia dan anugerah yang besar daripada
Allah pada hari akhirat kelak.
“Segala perjuangan para pahlawan yang
terdiri daripada pasukan keselamatan iaitu tentera dan polis yang
mempertahankan negara adalah satu tugas yang sangat mulia, kerana
perjuangan mereka dipenuhi pelbagai dugaan.
“Kalau kita lihat perjuangan yang ditunjukkan oleh Rasulullah ﷺ dan para sahabat dengan penuh semangat dan kesungguhan.
“Mereka telah menempuh segala cabaran dan
rintangan sehingga kuasa-kuasa besar pada masa itu pun tunduk di bawah
kekuasaan Islam. Kejayaan mereka ini adalah berdasarkan tiga faktor
utama.
“Pertama, segala kejayaan dan
kecemerlangan mereka adalah hasil daripada pertolongan Allah. Kedua,
sifat berdisiplin, amanah, jujur dan ikhlas adalah di antara sifat-sifat
utama yang mendasari kejayaan mereka di dalam setiap perjuangan. Dan
yang ketiga, sikap sentiasa mematuhi perintah Allah dalam setiap keadaan
sama ada ketika senang atau susah,” kata Jakim.
Pada masa sama, mimbar menyeru umat Islam
menyemarakkan kembali janji untuk beriltizam di atas prinsip-prinsip
kebenaran yang didukung oleh Islam sebagai wadah bagi memastikan
keberadaan kita di dunia yang fana ini tidak tergelincir dari garisan
ibadah.
“Marilah kita sama jalinkan kekuatan,
bina kombinasi mapan, sempurnakan amanah dan peranan, hiaskan diri
dengan kesopanan, tingkatkan pengorbanan dan kesiapsiagaan demi
kedaulatan agama dan tanah air,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan