Tommy Thomas patut malu, sila letak jawatan segera: Berjasa
BANGI– Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) menggesa Tommy Thomas
meletak jawatan sebagai Peguam Negara susulan tindakan biadap menghina
mahkamah dan menyalahi prinsip perundangan inkues.
Isnin lalu, Hakim Koroner, Rofiah Mohamad
memutuskan secara prima facie bahawa Tommy Thomas menghina mahkamah
menerusi afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 3 April
lalu.
Dia juga didakwa telah campur tangan salah dalam pelaksanaan keadilan (‘unlawful interference in the cause of justice’).
Peguam Negara itu secara subjudis
menyatakan pendirian awal mengenai punca kematian pegawai bomba,
Muhammad Adib Mohd Kassim yang masih menjadi persoalan cuba dirungkaikan
di dalam inkues.
Menganggap Tommy tidak mempunyai
kredibiliti dan integriti dalam menjalankan tugas, Presiden Berjasa
Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz yakin tindakan Peguam Negara akan
menghilangkan kepercayaan rakyat kepada institusi perundangan negara.
“Beliau patut malu. Menghina mahkamah dan
menyalahi prinsip perundangan inkues adalah kesilapan yang tidak
sepatutnya dilakukan oleh seorang Peguam Negara.
“Malah, kepercayaan orang ramai kepada
sistem perundangan akan terjejas disebabkan kesalahan yang beliau
lakukan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.
27 Ogos lalu, keluarga Muhammad Adib Mohd
Kassim memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Koroner untuk memulakan
prosiding komital (hina mahkamah) terhadap Tommy Thomas berhubung punca
kematian anggota bomba itu tahun lalu.
Dalam alasan penghakiman oleh Hakim
Koroner, Rofiah Mohamad ke atas permohonan bapa Arwah Muhammad Adib,
iaitu Mohd Kassim Abdul Hamid, untuk memulakan satu prosiding penghinaan
mahkamah terhadap Peguam Negara berhubung perlakuan beliau dalam Inkues
Kematian Arwah Muhammad Adib, antaranya menyatakan:
“Adalah amat tidak wajar dan menyalahi
prinsip perundangan inkues serta subjudis bagi Peguam Negara untuk
mengambil kedudukan mengenai punca kematian arwah Adib yang menjadi
persoalan yang cuba dirungkaikan di dalam inkues yang sedang
berlangsung.
“Atas imbangan kebarangkalian saya
memutuskan bahawa pemohon telah menunjukkan secara prima facie bahawa
Peguam Negara telah melakukan penghinaan terhadap Mahkamah,” kata
Rofiah.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van
Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat
Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha
Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, beliau menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan