Isnin, 23 September 2019

Umno selar akhbar Cina siar gambar ‘pengantin’ Zahid-Hadi

MALAYSIAKINI

   
Umno menyelar tindakan sebuah akhbar Cina yang menyiarkan gambar ubah suai memaparkan seolah-olah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkahwin dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Ketua penerangannya Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata akhbar itu boleh tidak bersetuju dengan Muafakat Nasional kedua-dua parti itu tetapi bukan dengan menyiarkan gambar sebegitu.

“Namun menerbitkan gambar seolah olah presiden Umno dan Presiden PAS melakukan ‘perkahwinan sejenis’ adalah sangat biadab.

“Kita minta akhbar ini memohon maaf di atas tindakannya yang melampau batas. Ini penghinaan kepada Umno dan PAS,” Dr Shamsul dipetik sebagai berkata oleh Umno Online.
Anggota parlimen Lenggong berkata kebebasan bersuara, menulis atau menyuarakan pandangan bukan bermakna kita boleh berkata atau melakukan apa saja hingga melampaui batas.

“Apalagi melanggar batas etika kewartawanan,” katanya.

Berdasarkan klip akhbar itu, gambar Zahid dan Hadi diubah suai supaya kelihatan seperti pasangan pengantin.

Zahid berpakaian dasi dan bertali leher tetapi Hadi digambarkan sebagai pengantin wanita yang memakai gaun perkahwinan.

Latar belakang gambar hitam putih itu dihiasi corak bunga-bunga cerah.


Tiada ulasan: