Sabtu, 21 September 2019

'Turunkan harga rumah untuk pembeli asing beri mesej salah'

MALAYSIAKINI

   

Langkah menurunkan harga lantai untuk pembeli hartanah asing akan menghantar isyarat yang salah kepada pemaju, kata Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA).

Dalam satu kenyataan, setiausaha agungnya Chang Kim Loong berkata cadangan yang dibuat kerajaan Johor itu sebaliknya akan menyebabkan pemaju hartanah menyasarkan pembeli warga asing.

"Ini secara tidak langsung membuatkan pemaju perumahan di Johor menaikkan harga hartanah dalam lingkungan RM400,000 hingga RM500,000 melangkaui RM600,000 untuk mendapatkan pasaran di Singapura yang lumayan dan menyebabkan penduduk tempatan terpinggir daripada pasaran perumahan di Johor.

"Adakah ini yang kerajaan Johor mahu? Kewajipan setiap kerajaan adalah untuk memastikan rakyat mereka mempunyai akses kepada perumahan mampu milik dan bukan membantu warga asing membeli hartanah pada harga yang lebih murah berbanding negara asal mereka," kata Chang.

Chang berkata kerajaan negeri perlu menyerahkan isu pasaran hartanah mewah yang tak terjual di negeri itu kepada pemaju.

"HBA mengambil maklum masalah hartanah mewah yang belum terjual tetapi masalah ini disebabkan oleh ketamakan pemaju sendiri yang mengabaikan permintaan untuk hartanah berpatutan.

"Oleh itu, pemaju yang perlu menyelesaikan masalah mereka sendiri. Mereka perlu memikirkan cara seperti menawarkan diskaun atau insentif lain untuk menarik pembeli tempatan," katanya.

Harga lantai di Johor untuk pembeli hartanah asing pada masa ini adalah sebanyak RM1 juta.

Kerajaan negeri bercadang menurunkan harga lantai dalam menangani isu hartanah yang belum dijual.

Johor mempunyai jumlah tertinggi hartanah siap tetapi masih belum terjual di negara ini iaitu sebanyak 6066 unit sehingga Mei lalu.

Kerajaan Johor berkata kebanyakan unit berharga RM500,000 ke atas.


Tiada ulasan: