KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Jurugaya Rambut India Malaysia (Mindas) hari ini merayu kerajaan mengkaji semula keputusan membekukan pengambilan tukang gunting rambut warga asing kerana perniagaan terjejas teruk sejak 2016 lagi.
Mindas memohon kerajaan membolehkan mereka mengambil tenaga kerja dari luar negara bagi meringankan kos perniagaan, dan memberi amaran keputusan baru itu, yang akan berkuat kuasa pada 2021, akan mengakibatkan kos gunting rambut meningkat kepada RM30 hingga RM45.
“Kami merayu kepada kerajaan untuk mengkaji pengumuman tersebut dan terus menggaji pekerja asing bagi meringankan kos operasi kami yang melambung tinggi,” kata Timbalan Presidennya Suthaniram Thangiah pada sidang media di sini, hari ini.
“Ahli-ahli persatuan bukan tidak mahu menggunakan pekerja tempatan, tetapi pekerja tempatan nampaknya kurang berminat, dan ia juga melibatkan kos yang tinggi. Ini menyebabkan banyak kedai gunting ahli terpaksa ditutup. Sebenarnya kami dalam dilema,” katanya.
Mindas faham kerajaan berhasrat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan mahu menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, tetapi hakikatnya 40% kedai gunting rambut yang diusahakan ahlinya sudah tutup kerana kos yang semakin meningkat dan keuntungan bulanan yang tidak seberapa.
“Kami sentiasa membuka peluang kepada warga tempatan untuk bekerja bersama kami, namun tiada yang tampil dan berminat,” katanya.
Mindas menaungi 718 ahli seluruh negara dengan lebih 2,000 kedai gunting rambut diusahakan oleh ahli-ahlinya. Pekerja asing dari India pilihan utama ahli Mindas, diikuti pekerja dari Bangladesh dan Nepal.
Pada Ogos, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengambilan pekerja asing dalam subsektor gunting rambut, tekstil, dobi dan tukang emas, Persatuan Pengusaha Jurugaya Rambut Malaysia percaya kos gunting rambut akan meningkat kepada RM30 hingga RM45, mengambil kira keutamaan kepada pengambilan rakyat tempatan.
Kebenaran mengambil pekerja asing bagi subsektor berkenaan dibekukan sejak 2009.
Mindas bagaimanapun memohon kerajaan meluluskan 2,000 permit pekerja asing bagi memastikan perniagaan kedai gunting rambut terus “bernafas”.
Suthaniram berkata ahli-ahli Mindas sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan pengambilan pekerja termasuk menyediakan gaji setimpal, tempat tinggal, insurans dan syarat penugasan.
Selain itu, kedai-kedai milik ahli-ahli Mindas bukan perniagaan semata-mata tetapi sebahagian warisan turun-temurun sejak 3 generasi lalu.
“Kami menyediakan perkhidmatan yang cekap dan berkualiti pada harga yang rendah dan munasabah khususnya bagi golongan B40,” katanya.
Persatuan itu juga berkata pihaknya akan menghantar memorandum berhubung rayuan mereka kepada Muhyiddin untuk pertimbangan.
“Persatuan Pengusaha Jurugaya Rambut India Malaysia akan menghantar satu memorandum rayuan berhubung perkara ini kepada Muhyiddin, Menteri Dalam Negeri meminta mempertimbangkan rayuan kami ini.
“Kami juga berharap beliau akan meluangkan masa untuk berjumpa dengan kami bagi mendapatkan pandangan kami, sekali gus membenarkan tukar gunting rambut terus menggunakan pekerja asing,” kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan