Tiga puluh empat tahun sudah berlalu, namun peristiwa hitam yang dilalui penduduk Kampung Memali di Baling Kedah masih segar dalam ingatan.
Rata-rata penduduk berpendapat insiden yang berlaku pada tanggal 19 Nov 1985 itu bukan isu kecil dan tidak mudah dilupakan.
Bagi Mat Isa Abdul Rahman, 47, amat mustahil melupakan kejadian itu lebih-lebih lagi apabila ia mengorbankan bapanya sendiri.
"Tragedi pahit kita tak akan lupa. Ia akan kekal dalam ingatan kami. Kalau kata kita lupa (tragedi) itu, saya bodohlah.
Bagaimanapun Mat Isa berkata isu itu cuba ditimbulkan semula untuk memecahbelahkan penyatuan ummah antara PAS dan Umno.
"Itu politik, saya fikir itu hanya propaganda politik PH untuk pecah belahkan Umno-PAS," katanya.
Peristiwa
Memali bermula apabila pihak polis cuba menahan tokoh agama, Ibrahim
Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya di bawah Akta
Keselamatan Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa menyebarkan
ajaran sesat.
Manakala beratus-ratus orang ditahan di bawah ISA.
Dr Mahathir Mohamad pada masa itu merupakan perdana menteri, manakala timbalannya ialah Musa Hitam yang juga Menteri Dalam Negeri.
Isu
Memali kembali mencuri tumpuan baru-baru ini apabila Setiausaha Agung
PAS, Takiyuddin Hassan menjelaskan partinya kini menganggap tragedi itu
sebagai "kecil" dengan adanya kerjasama politik dengan Umno.
Takiyuddin berkata demikian ketika ditanya mengenai penerimaan keluarga mangsa Memali terhadap penyatuan kedua-dua parti itu.
Bagi balu allahyarham Ibrahim Libya, Solehah Husain, 66 sehingga kini beliau masih tidak dapat memaafkan Mahathir kerana peristiwa berdarah itu.
"Balu-balu mangsa tragedi Memali memang tak berpuas hati dengan apa yang berlaku dan kami rasakan Mahathir sangat jahat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Memali PAS Kedah, Muhamad Yusof Husin berkata tragedi hitam itu tetap merupakan suatu sejarah yang tidak boleh dilupakan.
Namun katanya, Himpunan Penyatuan Ummah yang berlangsung pada 13 dan 14 September lalu melibatkan agenda lebih besar untuk menyelamatkan Malaysia, Islam dan orang Melayu yang wajar disokong.
"Penyatuan yang berlaku itu adalah perpaduan untuk umat Islam dan demi negara, memandangkan suasana politik sekarang ini.
"Jadi ia satu agenda besar yang dilakukan pimpinan (PAS dan Umno) untuk penyatuan orang Melayu, untuk pembelaan agama Islam dan untuk rakyat secara keseluruhan, termasuk lain-lain kaum," katanya kepada Malaysiakini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan