Mahkamah Koroner terima keterangan saksi Pakar Patologi Forensik
SHAH ALAM
– Mahkamah Koroner di sini hari ini memutuskan kematian anggota bomba
Muhammad Adib Mohd Kassim yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di
tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, dekat sini, tahun
lepas adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga
individu yang tidak diketahui.
Koroner
Rofiah Mohamad yang mendengar prosiding inkues itu selama 41 hari bagi
menentukan punca kematian Muhammad Adib, 24, berkata mahkamah menerima
keterangan saksi ke-29, Pakar Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr
Shahrom Abd Wahid bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van
bomba pada masa kejadian.
“Kecederaan
‘blunt chest trauma’ yang menyebabkan kematian Muhammad Adib bukan
perbuatan sendiri tetapi impak perbuatan jenayah oleh lebih daripada dua
individu,” katanya.
Beliau
berkata, keterangan saksi di tempat kejadian juga menunjukkan terdapat
perbuatan memukul seseorang di kawasan di mana antara kira-kira 20 dan
30 orang berkumpul.
Mahkamah Koroner juga merumuskan kegagalan polis dan FRU dalam mengawal rusuhan turut menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.
Rofiah
berkata, mahkamah menerima teori dikemukakan Prof Dr Shahrom bahawa
kecederaan dialami Muhammad Adib adalah disebabkan perusuh menendang
pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang mengena dada
Allahyarham sehingga menyebabkan Muhammad Adib tersepit.
Menurutnya,
saksi itu juga memberitahu, Muhammad Adib sekali lagi ditarik dan
perusuh kemudian menerajang pintu EMRS sekali lagi yang mengenai
tangannya hingga menyebabkan luka seret.
“Oleh itu, teori terpelanting yang dikemukakan saksi ke-24, Dr Ahmad Hafizam Hasmi ditolak sepenuhnya,” katanya.
Sehubungan itu, mahkamah menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia dan Peguam Negara untuk melakukan sisatan dan pendakwaan.
Turut hadir berada di galeri awam, bapa Allahyarham Mohd Kassim Abdul Hamid, 64.
Pada 27
November lepas, Muhammad Adib yang juga anggota van Unit Bantuan
Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya,
parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman,
USJ 25, Subang Jaya, dekat sini.
Selepas 21
hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17
Disember lepas di Institut Jantung Negara (IJN).
Sebanyak
30 saksi dipanggil termasuk beberapa saksi pakar memberi keterangan
sepanjang inkues itu yang bermula pada 11 Februari lepas.
Antara
saksi pakar yang dipanggil adalah Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur
(HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, Perunding Kardiotorasik Pusat Perubatan
Subang Jaya (SJMC) Dr S.Anand dan Perunding Kanan Patologi Forensik
United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid.
Sebanyak
137 bahan bukti dikemukakan dengan pelbagai hujahan dilontarkan oleh
pihak terlibat sebelum prosiding berkenaan ditutup pada 24 Julai lepas.
Inkues
dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya selaku pegawai pengendali Faten
Hadni Khairuddin, manakala peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib,
Syazlin Mansor, Mohd Kamaruzaman Abdul Wahab, Ahmad Taufiq Baharum,
Yahaya Othman dan Zamri Ibrahim.
Sementara
itu, peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)
dan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) adalah Peguam Kanan
Persekutuan, Suzana Atan dan Mazlifah Ayob daripada Jabatan Peguam
Negara.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan