Ahad, 22 September 2019

Gambar ‘perkahwinan sejenis’ UMNO, Pas sangat biadap

Wartawan MalaysiaGazette
kahwin
Paparan sebuah akhbar Cina yang menggambarkan perkahwinan sejenis UMNO, Pas. FB Shamsul Anuar Nasarah


KUALA LUMPUR – Sebuah akhbar berbahasa Cina dituntut memohon maaf selepas memaparkan gambar Presiden UMNO. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melakukan ‘perkahwinan sejenis’

Setiausaha Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menyifatkan paparan gambar itu sebagai sangat biadap dan satu penghinaan kepada UMNO dan Pas.

Tegasnya, kebebasan bersuara, menulis atau menyuarakan pandangan bukan bermakna kita boleh berkata atau melakukan apa saja hingga melampaui batas, apalagi melanggar batas etika kewartawanan.

“Justeru itu, tindakan dipercayai oleh akhbar berbahasa Cina keluaran 19hb September sangat biadap apabila memaparkan gambar Presiden UMNO dan Presiden Pas dalam keadaan yang tidak sepatutnya dilakukan apabila menerbitkan sebuah artikel berkaitan Muafakat Nasional UMNO-Pas.

“Kita minta akhbar ini memohon maaf,” katanya.

Soal Shamsul Anuar lagi, mengapa kerjasama UMNO dan Pas mendatangkan kebimbangan terancam sedangkan Malaysia mengamalkan sistem demokrasi.

Menurutnya, UMNO dan Pas tidak melakukan apa-apa kesalahan , malahan Muafakat Nasional adalah baik untuk pelbagai kaum dalam negara ini.

Jelasnya, jika akhbar ini tidak bersetuju dengan Muafakat Nasional, itu pendirian masing masing.
“Namun menerbitkan gambar seolah olah Presiden UMNO dan Presiden Pas melakukan ‘perkahwinan sejenis’ adalah sangat biadap. Kita minta akhbar ini memohon maaf di atas tindakannya yang melampau batas,” tegas Shamsul Anuar. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: