Pejabat mufti, majlis agama negeri pantau jika ada aduan, salah laku
KUALA LUMPUR– Sijil tauliah mengajar agama Islam akan ditarik jika pengajar
didapati melanggar mana-mana undang-undang yang ditetapkan, kata Menteri
di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Beliau menegaskan semua pihak termasuk
pemegang tauliah mengajar agama perlu menghormati undang-undang serta
sensitiviti, kepelbagaian kaum dan bangsa di negara ini.
“Ada undang-undang, kena hormat, kita
semua terikat. Jangan lupa juga kepelbagaian agama, bangsa kerana kita
ada orang Melayu, India, Cina, Kadazan, Iban dan lain-lain lagi. Jangan
cakap seolah-olah mereka ini tiada (ketika mengajar agama),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap
merasmikan Muzakarah Perdana Pemegang Tauliah Mengajar Agama di Masjid
Wilayah Persekutuan hari ini.
Turut hadir Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan kira-kira 400 peserta muzakarah itu.
Ditemui pemberita selepas itu, Mujahid
berkata, sehingga kini belum ada lagi sijil tauliah mengajar agama
ditarik balik, namun pejabat mufti dan majlis agama negeri sentiasa
memantau jika terdapat sebarang aduan dan salah laku yang dilaporkan.
“Kami ada proses. Kami akan siasat (jika
ada laporan), kami panggil individu itu dahulu dan minta penjelasan
sebelum ambil sebarang keputusan,” katanya.
Beliau menekankan pentingnya tenaga
pengajar agama menghormati kepelbagaian kaum dan agama yang telah
terjalin sejak merdeka, yang dikhuatiri akan tergugat jika ia tidak
dijaga dengan sebaik-baiknya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan