Nur Fatin Halil
Enggan ikut landasan betul, Allah hukum penguasaan syaitan dalam diri
SEGALA puji bagi Allah
SWT yang mempertemukan kita dengan tahun baru Hijrah 1441H. Di
kesempatan dan nyawa yang masih ada, proses pembaikan diri perlu
diteruskan, amal ibadah dipertingkatkan dan larangan Allah SWT
dijauhkan. Buat para wanita Muslimah, sudahkah kita memenuhi perintah
Allah SWT khususnya dalam perintah berhijab? Dan yang telah berhijab
pula, sudahkah kita memenuhi tuntutan hijab yang digariskan syarak,
menutup aurat kerana perintah Allah SWT dan bukan sekadar ikut-ikutan?
Menutup aurat, bertudung dan berhijab itu
adalah suatu tindakan yang harus dilakukan dalam sedar, bukan
ikut-ikutan, sekadar berfesyen atau atas dasar kerana suka dipuji
sahaja. Perintah berhijab jelas disampaikan oleh Allah SWT melalui Surah
An-Nur ayat 31:
“Dan katakanlah kepada
perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka
(daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan
janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang
zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya
dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan
perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka
atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri
mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara
mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang
perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau
orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak
berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi
tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk
diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan
bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman,
supaya kamu berjaya.”
Ayat ini mengandungi suruhan Allah SWT
kepada wanita yang beriman untuk menundukkan pandangan daripada
memandang yang haram, memelihara kehormatan diri dan menutup kepala
serta seluruh tubuh badan. Para wanita beriman juga dilarang untuk
memperlihatkan perhiasan diri kecuali yang zahir, iaitu muka dan tangan
dan hanya boleh memperlihatkannya di hadapan mahramnya sahaja.
Kita mengaku kita seorang Islam, tetapi
adakah kita telah beriman? Keimanan terbukti apabila adanya ketaatan
kepada perintah Allah. Dan sebahagian bukti keimanan bagi seorang wanita
Islam adalah mentaati perintah Allah dalam berhijab.
Belum Sampai Seru
Inilah kata-kata yang seringkali
dilafazkan oleh segelintir wanita yang masih belum terbuka hatinya untuk
berhijab. Pengetahuan tentang kewajipan hijab telah sampai di akal,
tetapi malangnya ia masih belum singgah di hati. Sudah tahu tentang
sesuatu belum tentu membawa kepada amal. Ketahulilah bahawa menolak
hidayah itu setelah memperolehnya bermakna memberikan kuasa kepada
syaitan.
Syaitan tidak berupaya menguasai jiwa
manusia melainkan jika manusia itu sendiri menolak hidayah Allah SWT dan
keluar daripada landasan yang telah ditetapkan-Nya.
Apabila manusia enggan mengikuti landasan
yang telah ditetapkan itu, Allah SWT menghukumnya dengan penguasaan
syaitan ke atas dirinya. Lalu syaitan memandunya ke landasan lain yang
menjadikan manusia sesat dan tidak akan sampai ke destinasi yang dituju.
Arah yang kita tuju seharusnya ke arah mencapai keredhaan Allah. Namun,
syaitan telah menyimpangkan manusia yang sesat tadi dan membawa ke arah
kejahatan dan kerosakan. Firman Allah SWT dalam Surah Az-Zukhruf ayat
36 hingga 39 yang bermaksud:
“Dan sesiapa yang tidak mengendahkan
peringatan (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami
akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu
menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. Dan
sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan
yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang
mendapat hidayah petunjuk. Sehingga apabila ia (yang terjerumus dalam
kesesatan itu) datang kepada Kami (pada hari kiamat), berkatalah ia
(kepada Syaitannya): “Alangkah baiknya (kalau di dunia dahulu ada
sekatan yang memisahkan) antaraku denganmu sejauh timur dengan barat!
Kerana (engkau) adalah sejahat-jahat teman”.(Lalu dikatakan kepada
mereka): “Pada hari ini, setelah nyata bahawa kamu telah menganiaya diri
sendiri, (maka apa yang kamu cita-citakan itu) tidak sekali-kali akan
memberi faedah kepada kamu, kerana sesungguhnya kamu dan teman-teman
kamu itu tetap menderita bersama-sama di dalam azab”.
Pada hari kiamat, pastinya manusia akan
menyesali tindakannya di dunia ketika mana menuruti segala godaan dan
desakan syaitan. Malah syaitan berlepas diri daripada perbuatannya dan
manusia itu sendirilah yang menanggung azab dan seksaan di akhirat
kelak. Mahukah kita menjadi orang yang rugi dan menyesal di akhirat
kelak? Tentu sekali-kali tidak.
Tewaskan Godaan Syaitan dan Berhijrahlah
Oleh kerana itu, sentiasalah memohon
bantuan daripada Allah untuk berlindung dari segala kejahatan syaitan
yang durjana. Berdoalah agar diberi kekuatan untuk mengambil langkah
pertama untuk berubah meninggalkan jahiliah. Jangan berfikir terlalu
lama dalam melakukan kebaikan. Jangan bertangguh lagi. Masa sentiasa
berjalan dan usia semakin bertambah. Jangan biarkan syaitan mengusai
diri kita, tumpaskan bisikan syaitan itu, jadilah orang yang menang.
Menurut Imam Al-Ghazali, ada tiga cara menghadapi serangan syaitan:
Pertama: Mengetahui taktik tipu daya dan
strategi serangannya. Selalunya tipu daya dan strategi syaitan adalah
melalui bisikan waswas kepada manusia.
Kedua: Tidak memberi perhatian dan layanan terhadap hasutannya.
Ketiga: Lidah dan hati sentiasa zikrullah atau menyebut nama Allah SWT.
Jadikanlah permulaan tahun baru hijrah
ini sebagai titik mula untuk memulakan pemakaian hijab. Benar, hijrah
tidak mudah. Lihatlah bagaimana peristiwa hijrah Rasululaah ﷺ mengajar
kita betapa sukarnya perjalanan hijrah itu. Rasulullah ﷺ menghadapi
ancaman bunuh, dikejar para musyrikin, melarikan diri dan bersembunyi di
Gua Thur serta pelbagai lagi kepayahan dan kesukaran sebelum sampai ke
bumi Madinah.
Boleh sahaja Allah menjadikan peristiwa
Hijrah itu mudah, di mana Rasullah ﷺ tidak perlu berjalan kaki dan
barangkali hanya menaiki tunggangan Buraq seperti peristiwa malam Israk
Mikraj. Namun, ada pelajaran yang perlu diketahui oleh umat Muhammad ﷺ.
Kepayahan mengiringi hijrah agar umat ini menghargai jasa Nabi ﷺ dan
mengetahui betapa mahalnya nilai untuk menegakkan kalimah Allah.
Justeru, mengambil langkah pertama untuk berubah dan berhijrah akan
diiringi dengan kesukaran pada permulaannya, tetapi suatu yang indah
menanti di akhir sana.
Buat saudari-saudari Muslimah ku,
Adik-adik, kakak-kakak dan ibu-ibu tersayang,
Tahniah buat mereka yang telah berhijab dengan sempurna.
Adik-adik, kakak-kakak dan ibu-ibu tersayang,
Tahniah buat mereka yang telah berhijab dengan sempurna.
Namun buat yang masih belum terbuka hatinya,
Yang sudah berniat untuk berhijab namun belum melaksanakannya,
Yang sudah berhijab di kepala namun ada yang masih belum sempurna di sini dan sana,
Yang sudah berhijab namun ada masanya tutup dan buka,
Yang sudah berniat untuk berhijab namun belum melaksanakannya,
Yang sudah berhijab di kepala namun ada yang masih belum sempurna di sini dan sana,
Yang sudah berhijab namun ada masanya tutup dan buka,
Yang berhijab namun ikut keadaan dan masa,
Yang berhijab tetapi hanya kerana mengikut fesyen semata,
Atau yang sudah berhijab namun tidak tetap hati dan telah membukanya semula.
Ketahuilah bahawa hijab bukan hanya sekeping kain yang membaluti tubuh badan kita.
Hijab bukan hanya menutup aib dari pandangan manusia.
Hijab bukan hanya menjadikan maruah wanita terpelihara.
Hijab bukan hanya memuliakan seorang wanita di dunia.
Hijab bukan hanya menutup aib dari pandangan manusia.
Hijab bukan hanya menjadikan maruah wanita terpelihara.
Hijab bukan hanya memuliakan seorang wanita di dunia.
Namun,
Hijab adalah bukti tunduknya kita kepada perintah yang maha Pencipta.
Hijab adalah tanda cinta kita kepada Dia.
Hijab adalah lambang ketaatan kepada Tuhan kita.
Hijab adalah bukti tunduknya kita kepada perintah yang maha Pencipta.
Hijab adalah tanda cinta kita kepada Dia.
Hijab adalah lambang ketaatan kepada Tuhan kita.
Tanyalah dirimu mengapa kamu berhijab?
Jika hanya mengharapkan pujian atau keredhaan manusia,
Hijabmu hanya sekeping kain yang tiada makna.
Sia-sia.
Berhijablah kerana ingin menjadi cantik di pandangan Allah,
Berhijablah kerana ingin merebut cinta dan keredhaan-Nya,
Setiap permulaan memang payah,
Maka harus tetapkan jiwa dan tekad untuk terus istiqamah.
Berhijablah kerana ingin merebut cinta dan keredhaan-Nya,
Setiap permulaan memang payah,
Maka harus tetapkan jiwa dan tekad untuk terus istiqamah.
Ingat, jalan hijrah menuju Allah tak pernah mudah.
Ada ranjau dan cabaran tersedia di sepanjang perjalanan.
Jangan kau rasa rendah diri dengan hijabmu.
Ada ranjau dan cabaran tersedia di sepanjang perjalanan.
Jangan kau rasa rendah diri dengan hijabmu.
Hiraukan segala godaan, cercaan dan makian.
Hidup di dunia ini hanya sebentar cuma.
Buat orang beriman, dunia sememangnya adalah penjara.
Buat orang beriman, dunia sememangnya adalah penjara.
Rasa terkongkong dan tak boleh buat apa sahaja yang kita suka.
Namun, ada satu tempat tersedia untuk berehat dan bersuka ria.
Hanya untuk mereka yang taat pada Tuhannya
Sebuah tempat yang indah bernama Syurga.
*Nur Fatin Halil, Ahli Majlis Ulama Isma (MUIS)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan