Rabu, 17 April 2019

Sita PPR bukan nak zalimi penduduk - Exco Johor


   
Tindakan menyita 11 rumah di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Alam di Pasir Gudang, Johor semalam bukanlah dilakukan dengan niat untuk menzalimi penduduk yang terlibat.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar, Dzulkefly Ahmad, tindakan itu terpaksa dilakukan memandangkan jumlah tunggakan yang besar daripada penduduk terlibat, antara setahun ke enam tahun tunggakan.

“Kita faham, sebahagian penduduk PPR ini terdiri daripada keluarga miskin B40. Tapi bila dah dapat notis, penting untuk mereka datang berjumpa kita untuk berbincang bagi mencari jalan penyelesaian.

“Kalau diam sahaja, jadi kita tak mempunyai pilihan melainkan terpaksa ambil tindakan lah.

“[...] Setidak-tidaknya, perkara ini menjadi pengajaran kepada mereka, duduk luar sekejap. Begitulah.

Kita tak ada niat hendak menzalimi mereka,” katanya kepada Malaysiakini.

Semalam media tempatan melaporkan sejumlah keluarga di kediaman Flat Jalan Tasek 64, Seri Alam, Pasir Gudang, hilang tempat tinggal apabila rumah mereka disita penguat kuasa.

Tindakan sita itu, lapor Utusan Malaysia dipercayai diambil akibat penduduk terbabit gagal melunaskan tunggakan bayaran sewa kepada kerajaan negeri.

Menurut laporan akhbar itu, seorang penduduk, Mohd Zin Mustafa, 47, penguat kuasa mengarahkan mereka keluar daripada rumah yang didiami bermula jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Menurut Mohd Zin, mereka diarahkan keluar kerana gagal melunaskan bayaran sewa kira-kira RM100 kepada kerajaan negeri sejak 2015.


Tiada ulasan: