Selasa, 23 April 2019

Serpihan tulang di Gua Kandu sah milik manusia: Polis

ainaa syaza 

Pengesahan forensik kata keadaan serpihan tulang adalah tulang lama


KAMPAR – Polis mengesahkan serpihan beberapa tulang termasuk tulang paha yang ditemukan oleh orang awam pada Sabtu lalu di kawasan Gua Kandu, Gopeng, iaitu kira-kira 16 kilometer dari sini adalah tulang manusia.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Hasron Nazri Hashim berkata, pengesahan dibuat selepas laporan bedah siasat ke atas serpihan tulang itu selesai dilakukan oleh Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh semalam.

“Hasil bedah siasat yang diperoleh melalui pengesahan awal mendapati tulang yang ditemui itu adalah tulang manusia, dan ramalan awal pihak forensik tidak menafikan daripada keadaan serpihan tulang itu adalah tulang lama.

“Serpihan tulang telah dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya, Selangor bagi tujuan asid deoksiribonukleik (DNA) dan keputusan mengenai itu boleh diketahui dalam tempoh sehingga dua bulan atau lebih awal daripada itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini, hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu dilakukan berikutan kawasan penemuan serpihan tulang yang ditemui itu berada dalam kawasan pencarian berhubung kes kehilangan seorang peserta larian Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, Mohammad Ashraf Hassan yang hilang sejak bulan lalu.

Dalam pada itu, Hasron berkata, spesimen darah seorang daripada abang Mohammad Ashraf atau dikenali sebagai Acap telah dilakukan semalam di Hospital Kampar dan telah dihantar ke Jabatan Kimia Petaling Jaya bagi tujuan perbandingan DNA dengan serpihan tulang berkenaan.

Ahad lalu, Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid berkata, beberapa serpihan tulang ditemukan penduduk kampung semasa usaha mencari dan menyelamat Acap dilakukan.

Beliau berkata, bagaimanapun hasil carian yang dilakukan oleh unit forensik polis di lokasi itu tidak menemui tengkorak, rangka atau tulang lain.

Mohammad Ashraf, 29, dilaporkan hilang semasa menyertai larian GUT 2019 kategori 25km pada 23 Mac lalu. – Bernama


Tiada ulasan: