Isnin, 22 April 2019

Selepas 2 dekad, PBS akan bertanding semula di Sandakan

Presiden PBS Maximus Ongkili (kanan) dengan pemimpin 
tertinggi parti itu hari ini.
 
KOTA KINABALU: PBS akan meletakkan calon dalam pilihan raya kecil (PRK) Sandakan bulan depan, kata presidennya Maximus Ongkili selepas mengadakan mesyuarat dengan pemimpin tertinggi parti itu hari ini.

Bagaimanapun kata beliau, parti itu belum membuat keputusan tentang calon yang bakal bertanding.

“Kita ada satu senarai panjang calon berpotensi dan nama lain masih dikemukakan oleh ahli dan akar umbi kami di Sandakan,” katanya dengan menambah bahawa nama calon dari luar parti juga turut dipertimbangkan.

Katanya, PBS bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti pembangkang tempatan dan kebangsaan.
Kali terakhir PBS bertanding di kerusi Parlimen tersebut ialah pada pilihan raya umum 1999. 3 tahun kemudian ia menyertai Barisan Nasional (BN).

Ia keluar BN berikutan kekalahan gabungan itu dalam pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas.

Kerusi Sandakan kosong berikutan kematian penyandangnya, pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong, pada 28 March lalu.

Penamaan calon ditetapkan pada 27 Aril depan dan hari mengundi pada 11 Mei.

Kerusi Parlimen Sandakan mempunyai seramai 39,777 pengundi, yang terdiri daripada 49% orang Cina, 44% Bumiputera Islam dan 6% Bumiputera bukan-Islam.

Tiada ulasan: