Isnin, 22 April 2019

Kami terima RM350,000 daripada Najib, pemimpin Umno beritahu mahkamah

Bekas perdana menteri Najib Razak dikatakan memberi wang 
berjumlah RM350,000 kepada pemimpin Umno di Johor Bahru 
dan Padang Serai antara 2014 dan 2015.
 
KUALA LUMPUR: 2 pemimpin Umno dari Johor dan Kedah memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan SRC International melibatkan Najib Razak di sini bahawa mereka menerima wang berjumlah RM350,000 daripada bekas perdana menteri antara 2014 dan 2015.

Setiausaha Umno Johor Bahru, Abu Talib Alias dan ketua Umno Padang Serai, Asmadi Abu Talib berkata, mereka menerima cek masing-masing bernilai RM300,000 dan RM50,000.

Mereka berkata dana daripada Najib itu bertujuan untuk mengurus dan mengadakan program kebajikan di bahagian masing-masing.

Asmadi, yang mengetuai Umno bahagian Padang Serai sejak 2013 berkata, beliau bertemu Najib di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini pada 2014. Ketika itu katanya, beliau memberitahu Najib tentang rancangannya untuk bahagian tersebut.

“Saya beritahu perancangan saya untuk Padang Serai, dan masalah yang dihadapi bahagian itu bagi menjalankan program kebajikan dari segi tenaga kerja dan dana.

“Beliau (Najib) memberi kata-kata semangat, lalu menyerahkan satu cek bernilai RM50,000 atas nama saya sebagai penerima,” katanya ketika disoal timbalan pendakwa raya Mohd Saifuddin Hashim Musaimi.

Selepas menerima cek tersebut katanya, beliau memasukkannya ke dalam akaun bank peribadinya.
Asmadi berkata beliau memasukkan cek tersebut ke akaunnya sendiri, bukan akaun Umno Padang Serai kerana prosesnya lebih mudah berbanding pilihan kedua.

“Kami bimbang wang RM50,000 itu tidak diterima dalam akaun itu,” katanya, dengan menambah bahawa Umno bahagian mungkin perlu memanggil mesyuarat agung tahunan berhubung wang tersebut.

Ketika ditanya peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah sama ada Umno Padang Serai ada menerima dana daripada sumber lain, Asmadi menjawab tidak.

“Saya berterima kasih kepada Datuk Seri kerana membantu Umno bahagian,” tambahnya.

Dalam pada itu, Talib memberitahu mahkamah bahawa bekas ketua setiausaha Najib, Azlin Alias memberikan kepadanya satu cek bernilai RM300,000 di Pejabat Perdana Menteri.

“Saya diberitahu oleh Tan Sri Shahrir supaya mengambil cek tersebut daripada Azlin di Putrajaya,” katanya, merujuk kepada ketua Umno Johor Bahru, Shahrir Samad.

“Saya hanya tahu cek itu bernilai RM300,000 apabila menerima wang tersebut dan memasukkannya ke dalam akaun bahagian.”

Orang ramai yang hadir tertawa apabila Talib diminta mengenal pasti Najib yang duduk dikandang tertuduh.




Tiada ulasan: