Isnin, 22 April 2019

Gangguan bekalan air tidak dapat dielak, persiapan hadapi Ramadan, kata menteri

Bernama
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar memberi
jaminan bekalan air akan pulih dalam tempoh 48 jam.

BANGI: Gangguan bekalan air di Lembah Klang Rabu ini tidak dapat dielakkan bagi memastikan tidak timbul masalah air pada bulan puasa dan Aidilfitri, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar.

Beliau berkata, pihaknya memberi jaminan bekalan air akan pulih dalam tempoh 48 jam.

Menurutnya, langkah penambahbaikan dan membaiki paip air sudah lama dirancang Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Kerja-kerja penambahbaikan merupakan kerja besar dan memerlukan masa yang lama. Kerana itulah kami meminta tempoh 48 jam,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, di sini, hari ini.

SPAN pada Khamis lalu memaklumkan mengenai gangguan bekalan air sehingga 86 jam dijangka berlaku di Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor susulan kerja-kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) pada 24 April.

Gangguan bekalan air akan melibatkan 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar memulakan proses pengumpulan air bagi menampung kegunaan air pada tarikh berkenaan.

“Kita kena kurangkan pembaziran air. Ini adalah yang terbaik untuk jangka masa panjang bagi memastikan bekalan air mencukupi,” katanya.


Tiada ulasan: