Saksi boleh periksa, sahkan data maklumat akaun betul atau tak
KUALA LUMPUR
– Pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,
yang dibicarakan berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn
Bhd di Mahkamah Tinggi di sini, meminta saksi kelima pendakwaan
mengemukakan laporan pengesahan berkaitan transaksi cek yang terdapat
dalam sistem perbankan Ambank cawangan Jalan Raja Chulan.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan Harvinderjit Singh yang mewakili Najib selepas pendakwaan tidak membantah.
Terdahulu,
Pengurus Kanan Bahagian Pemprosesan Cek Ambank cawangan Jalan Raja
Chulan Badrul Hisam Mohamad berkata, beliau boleh mengemukakan laporan
itu ketika diminta berbuat demikian oleh Harvinderjit.
Harvinderjit: Bolehkah anda memeriksa data anda untuk mengesahkan sama ada maklumat dalam akaun ini betul atau tidak?
Badrul Hisam: Boleh
Hakim: Jadi, anda mahu beliau datang dan mengemukakan laporan itu kepada mahkamah?
Harvinderjit: Ya.
Sebelum
itu, Harvinderjit merujuk beberapa cek kepada saksi bagi mendapatkan
pengesahan berkaitan kesahihan butirannya, termasuk nama penerima,
tarikh dan nombor akaun.
Terdahulu,
Badrul Hisam bersetuju dengan Havinderjit bahawa setiap cek perlu
diperiksa terlebih dahulu untuk menentukan sama ada ia sudah ditunaikan
atau sebaliknya.
Beliau berkata, jika terdapat cek yang ditolak, pihak bank akan mengeluarkan notis kepada pengeluar cek (bank).
“Urusan
itu akan dibuat oleh pengurus bank dengan bahagian pemprosesan cek untuk
menyelesaikan perkara itu. Kemudian pengurus bank akan memberitahu
pemegang akaun berhubung penolakan cek,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi.
Najib, 66,
didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna
kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC
International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Perbicaraan bersambung petang ini.- Bersambung
Tiada ulasan:
Catat Ulasan