Oleh Fazleen Safina
Peguam Negara seperti ada agenda nafi cerita sebenar kematian Adib
BANGI
– Rakyat berasa kecewa dengan sikap Peguam Negara, Tommy Thomas yang
seolah-olah mempunyai satu agenda untuk menafikan cerita sebenar, di
sebalik kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma),
Aminuddin Yahaya hari ini berkata, belum selesai prosiding inkues
dijalankan, Tommy sudah membuat keputusan lebih awal bahawa Allahyarham
Muhammad Adib meninggal dunia bukan sebab dipukul.
Meragui keputusan Tommy itu, beliau
hairan kenapa Peguam Negara terlalu cepat membuat afidavit, dan tidak
menunggu sehingga prosiding inkues berkenaan selesai.
“Kenapa cepat sangat nak buat afidavit? Maka, sebab apa inkues kalau dah buat keputusan awal?
“Dalam keterangan salah seorang saksi
yang juga pembantu hospital yang pernah bertanya pada Allahyarham Adib
ketika merawatnya, Adib mengatakan beliau dipukul.
“Jururawat juga ada mengaku begitu,
tetapi kemudian membuat ‘u-turn’. Pihak bomba pun kata beliau dipukul,”
katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Aminuddin berkata, prosiding inkues kali
ini dilihat ‘pelik’ dan banyak percanggahan, termasuk cara membuat
keputusan sebelum inkues selesai.
Pada 15 April lalu, Jawatankuasa
Bertindak Menyelamatkan Kuil Mariamman Seafield menarik balik rayuannya
di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Koroner menolak
permohonannya untuk menjadi pemerhati dalam inkues kematian Adib.
Peguam, M Visvanathan, yang mewakili
jawatankuasa itu berkata, anak guamnya menarik balik rayuan itu
berdasarkan afidavit yang difailkan Jabatan Peguam Negara pada 3 April.
Beliau berkata, afidavit itu, yang
disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah, menyatakan kematian
Adib bukan akibat dipukul.
Afidavit itu turut menyatakan pakar
patologi forensik memberi keterangan dalam prosiding inkues bahawa
kecederaan yang dialami Adib, sehingga membawa kepada kematiannya, bukan
kecederaan akibat dipukul.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van
Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) Balai Bomba dan Penyelamat
(BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil
Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara (IJN).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan