Rabu, 17 April 2019

Anggota polis dipenjara, sebat salah guna harta PDRM

Fazleen safina

Tertuduh didakwa salah guna 'Kad Smart Pay' berjumlah RM92,000

MELAKA– Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dijatuhi hukuman penjara empat tahun lapan bulan, denda berjumlah RM92,000 dan tujuh sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Nur Baderyshah Matasum, 34, selepas dia mengaku bersalah ke atas tujuh pertuduhan menyalahgunakan harta milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu kad inden bernilai lebih RM90,000, dua tahun lepas.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, dikenakan hukuman penjara lapan bulan, denda dari RM8,000 hingga RM18,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah juga memerintahkan kesemua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh dia dituduh pada 14 Febuari lepas.

Ini bermakna, tertuduh akan menjalani hukuman penjara selama 56 bulan iaitu empat tahun lapan bulan, denda berjumlah RM92,000 atau penjara tujuh bulan dan tujuh sebatan.

Mohd Nur Baderyshah, didakwa dengan curang menyalahgunakan harta iaitu Kad Inden Minyak Petrol Kenderaan Rasmi PDRM ‘Kad Smart Pay’ bagi mendapatkan wang tunai berjumlah RM90,422.90 di Stesen Minyak Petronas Kelemak, Alor Gajah dekat sini, antara 1 Mac dan 30 September 2017.

Kesemua perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda serta sebat.

Mengikut fakta kes, tertuduh selaku orang yang bertanggungjawab mengawal selia kad inden dan pengisian minyak kenderaan pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah telah mengarahkan penyelia stesen minyak itu untuk meleretkan ‘Kad Smart Pay’ secara rawak apabila orang awam mengisi minyak.

Wang tunai yang dibayar orang awam akan diketepikan untuk diserahkan kepada tertuduh manakala caj bayaran pengisian minyak kenderaan orang awam itu akan dijelaskan PDRM melalui tuntutan pihak Petronas Dagangan Berhad bagi penggunaan ‘Kad Smart Pay’ itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat, berikutan dia merupakan penjawat awam dan individu yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan negara, namun menyalahgunakan kuasa demi kepentingan sendiri.

Lelaki itu, bagaimanapun merayu hukuman ringan atas alasan dia hanya menggunakan RM60,000 daripada jumlah tersebut untuk merawat ibunya di Sarawak selain perlu menanggung lima anak serta bapanya yang sedang uzur. -Bernama


Tiada ulasan: