Khamis, 4 April 2019

Polis tahan ustaz disyaki liwat pelajar


Hasbi Sidek




USTAZ yang disyaki meliwat seorang pelajar lelaki pada 2017 di sebuah sekolah tahfiz di Jeram, Kuala Selangor, ditahan polis di Batu Pahat, semalam.

Ketua Polis Daerah Superintendan Md Asri A Wahab berkata, suspek yang berusia 33 tahun itu direman selama tujuh hari bermula semalam.

“Suspek bagi kes ini yang juga pengajar di tempat mangsa belajar ditahan di rumahnya di Batu Pahat, kira-kira jam 1 pagi, semalam.

“Reman dipohon semalam dan suspek direman selama tujuh hari sehingga 9 April depan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa juga sudah melakukan pemeriksaan kesihatan di hospital dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Harian Metro hari ini melaporkan kisah duka yang dipendam remaja lelaki selama dua tahun menjadi mangsa liwat seorang guru agama terbongkar apabila dia membuat laporan polis, Isnin lalu.

Perbuatan jijik lelaki yang juga ustaz di sebuah sekolah tahfiz di Jeram, dekat Kuala Selangor, pernah diceritakan mangsa kepada ibunya namun tidak diendahkan.

Difahamkan, wanita itu tidak mempedulikan aduan dibuat mangsa berikutan menjalinkan hubungan dengan lelaki terbabit yang kini bergelar suaminya.

Sumber dilaporkan berkata, remaja terbabit yang kini berusia 18 tahun membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Rawang.

Katanya, ketika kejadian, mangsa berusia 16 tahun dipercayai beberapa kali diliwat suspek sepanjang menginap di asrama disediakan sekolah tahfiz berkenaan dari Januari hingga November 2017.

Tiada ulasan: