Khamis, 4 April 2019

Lenggeng Sejahtera tumpuan golongan bandar berhijrah

Manzaidi Mohd Amin

Suhaimi Kassim
Suhaimi Kassim

KARNIVAL Lenggeng Sejahtera yang bakal berlangsung selama dua hari dari 6 dan 7 April ini di Pentas Budaya Kampung Rawa Ulu, Lenggeng, Negeri Sembilan, kini dalam persiapan akhir.

Program rakyat yang dianggap terbesar sepanjang tempoh 11 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) itu dianjurkan Pertubuhan Pembangunan dan Konsultasi Bandar Tasik Senangi (BISDEC) dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Lenggeng dan Homestay Lenggeng Sejahtera.

Untuk mengetahui lebih lanjut motif dan matlamat karnival itu, ikuti temubual MalaysiaGazette (MG) dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Suhaimi Kassim.

MG: Apakah objektif utama karnival ini diwujudkan dan mungkin YB boleh huraikan secara terperinci golongan sasar?

SUHAIMI KASSIM: Karnival ini tidak lain tidak bukan untuk memperkenalkan Lenggeng ke tahap nasional dan dikenali di kalangan rakyat Malaysia. Umum mengetahui Lenggeng sebuah kawasan luar bandar yang kini semakin mendapat tempat di hati golongan bandar berhijrah ke sini.

Sesungguhnya, Lenggeng mempunyai keunikannya tersendiri dari segi budaya, ekonomi sosial.
Lebih jelas, ia adalah kawasan pertanian yang banyak menyumbang kepada industri tani negara.

Boleh dikatakan Lenggeng adalah wira yang tidak didendangkan dalam bidang pemakanan dan pertanian. Jadi, karnival ini sudah semestinya bertujuan meletakkan Lenggeng sebagai satu daerah yang mampu menjadi tarikan pelbagai industri terutama pertanian dan pelancongan.

Justeru, saya sebagai wakil rakyat baru kawasan ini sudah pasti mahu memastikan Lenggeng setaraf dengan pekan yang maju di negara ini.

MG: Bagaimana tercetusnya idea mengadakan karnival ini, adakah ia julung kali diadakan di Lenggeng?

SUHAIMI KASSIM: Sebenarnya ia tercetus apabila saya berbincang dengan rakan rakan saya mengenai hala tuju yang bakal meletakkan Lenggeng ke tahap lebih berintergrasi, maju dan berdaya saing.

Sebelum kita mahu melaksanakan pelbagai impian, sudah pastinya perlu melaksanakan sebuah acara yang dianggap besar buat julung kalinya sebelum perkara lebih besar diadakan.

Jadi, kami mengambil kesempatan untuk mengadakan karnival ini supaya masyarakat setempat dari luar dan dalam Lenggeng tahu usaha awal kita ialah dalam membantu pelbagai sektor di sini ke tahap tertinggi.

Dan inilah masanya, penduduk Lenggeng sendiri dapat mengambil bahagian memperkenalkan apa sahaja produk yang mereka perolehi supaya ia dapat dinilai dan dipasarkan secara bersama.

MG: Mengapa dinamakan Karnival Lenggeng Sejahtera, apakah maksud di sebalik nama itu?
BISDEC antara penganjur utama Karnival Lenggeng Sejahtera
BISDEC antara penganjur utama Karnival Lenggeng Sejahtera
SUHAIMI KASSIM: Nama Lenggeng Sejahtera ini diambil dalam satu perbincangan kami di Pusat Khidmat DUN Lenggeng bersama penganjur, Pertubuhan Pembangunan dan Konsultasi Bandar Tasik Senangin (BISDEC) dan penaja Homestay Lenggeng Sejahtera.

Saya juga sering membawa nama Lenggeng Sejahtera ini sebagai promosi di mana sahaja kawasan yang saya lawati. Sudah pasti nama ini akan menjadi jenama yang akan saya bawa tidak kira ke mana saja kerana saya mahu lihat Lenggeng sentiasa di bawah kesejahteraan-Nya.

MG: Difahamkan pelbagai agensi turut menyertai program julung kali ini, adakah YB yakin usaha ini mampu menaikkan nama Lenggeng dari kaca mata masyarakat setempat serta kebangkitan golongan sasar iaitu B40?

SUHAIMI KASSIM: Ya betul, gerai yang disediakan laris seperti goreng pisang panas. Ramai yang mengambil bahagian untuk memastikan karnival ini mendapat sambutan.

Saya difahamkan, antara yang menyertai karnival ini ialah Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Jabatan Kesihatan, Amanah Ikthiar Malaysia (AIM), Kemas dan lain lain lagi.  Itu adalah dari agensi kerajaan,
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta seperti Proton, Hyundai, Nestle dan agensi perbankan seperti Bank Simpanan Nasional serta Ambank juga turut menyertai karnival ini. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: