Jumaat, 19 April 2019

Penyamun tiga negeri


Iskandar Shah Mohamed


KEGIATAN licik empat sahabat yang aktif melakukan samun dengan menyamar sebagai anggota polis dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di tiga negeri, tumpas akhirnya apabila dicekup polis.

Difahamkan, semua suspek termasuk seorang wanita berusia 20 hingga 30 tahun mensasarkan warga asing sama ada di tepi jalan, rumah atau kedai.

Mereka yang melakukan jenayah dengan menaiki kereta dipercayai memperkenalkan diri sebagai pihak berkuasa kononnya mahu menjalankan pemeriksaan sebelum bertindak menggari dan menyamun mangsa.


Bagaimanapun, perbuatan mereka berjaya dihidu Bahagian Siasatan Khas Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang menahan semua suspek di sekitar Rawang dan bandar raya ini antara semalam hingga awal pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, penahanan dibuat hasil laporan seorang warga asing yang disamun suspek di sekitar Kota Damansara, jam 5.30 petang, semalam.

“Bertindak atas maklumat dan siasatan, salah seorang suspek lelaki berjaya ditahan di parkir sebuah pasar raya di Rawang pada jam 8.45 malam hari sama.

“Kejadian itu membawa kepada penahanan dua lagi suspek lelaki dan seorang wanita di Dataran Kemerdekaan Shah Alam untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya turut merampas pelbagai barangan termasuk topi dan vest polis, gari, pistol mainan dan sejumlah batu permata dianggarkan bernilai RM100,000.

“Semakan mendapati, tiga suspek lelaki turut memiliki rekod jenayah lampau termasuk narkotik dan salah seorang mereka membabitkan kes cubaan membunuh.

“Mereka kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan Seksyen 170 akta sama kerana menyamar sebagai penjawat awam,” katanya.

Fadzil berkata, siasatan awal mendapati kumpulan yang aktif sejak Januari lalu itu terbabit dalam 16 kes di negeri ini, Kuala Lumpur dan Perak.

“Bagaimanapun, kita masih menyiasat sama ada mereka turut terbabit dalam kes lain dan meminta mangsa lain supaya tampil membuat laporan polis,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada bagi mengelak menjadi mangsa samun.

“Selain mengelak daripada berjalan bersendirian, orang awam boleh meminta mana-mana pegawai atau anggota menunjukkan kad kuasa masing-masing,” katanya.

Tiada ulasan: