Jumaat, 19 April 2019

Perlu RM56 juta lagi bina Hospital Pendang

Noorazura Abdul Rahman



SEBANYAK RM56 juta peruntukan tambahan diperlukan bagi proses pengambilan tanah untuk membina jalan serta longkang di Hospital Pendang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, permohonan peruntukan itu akan dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Kementerian Kewangan tidak lama lagi.

Katanya, proses pengambilan tanah untuk pembinaan jalan serta longkang itu menyebabkan kerja-kerja pembinaan hospital itu agak lewat yang kini masih dalam 10 peratus.


“Kita tak boleh teruskan pembinaan Hospital Pendang sebab kita perlu bina longkang dan jalan masuk ke hospital terlebih dahulu.

“Jika kita teruskan juga bila-bila masa saja akan berlaku banjir, jadi JKR akan membuat permohonan itu dan kita berharap pembinaan Hospital Pendang akan siap dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Ismail berkata, kerja-kerja pembinaan hospital itu sudah bermula pada Disember lalu dengan kos lebih RM210 juta.

“Kerajaan menggunakan kontraktor yang sama seperti diumumkan kerajaan lama sebelum ini.

“Alhamdulillah projek yang penuh kontroversi ini sudah mula dibina di atas tanah berkeluasan 17 hektar akan mula beroperasi dengan jumlah 126 katil.

“Dengan adanya hospital baharu ini, kerajaan negeri berharap ia akan memberi kemudahan kepada penduduk Pendang dan mengurangkan kesesakan sebanyak 20 peratus di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar,” katanya.

Tapak hospital berkenaan yang terletak di Kampung Banggol Pauh dijangka siap sepenuhnya pada November 2021, namun berikutan perubahan kerajaan, pembinaan hospital berkenaan terpaksa ditangguhkan.

Terdahulu, Dr Ismail merasmikan Hari Buah Pinggang Sedunia 2019 di Aman Central yang dijalankan dengan kerjasama Lions Club of Alor Setar Host dengan kerjasamaYayasan Sultanah Bahiyah (YSB), Yayasan Buah Pinggang Negara dan Jabatan Oftalmologi HSB.

Tiada ulasan: