Rabu, 10 April 2019

Mat Hasan: Saya bukan ada darah Minang pun...


   
PRK RANTAU l Bekas menteri besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan menjarakkan dirinya dengan sebuah banglo berbentuk Minangkabau di Seremban 2, yang menurut pengkritik adalah miliknya.

“Dari segi bentuk pun tak sesuai, jika kamu kenali saya... saya bukannya ada darah Minang pun...,” katanya pada sidang akhbar di Rantau hari ini.

Media sosial tular sejak kebelakangan ini dengan dakwaan Mohamad memiliki banglo bernilai kira-kira RM6 juta di Saujana Duta, Seremban 2 yang yang direka dengan bumbung berbentuk Minangkabau.

Mohamad atau juga dikenali sebagai Mat Hasan berkata ketika menjadi menteri besar, beliau meninggalkan dasar lama yang menyaksikan bangunan di Negeri Sembilan dibina mengikut seni bina Minangkabau. Katanya, beliau memilih gaya Melayu Negeri Sembilan.

“Sebab itu masa saya jadi MB, banyak orang marah dengan saya kerana saya telah pun ubah suai supaya rekabentuk rumah Negeri Sembilan ada rekabentuk sendiri.


“Rumah-rumah Melayu Negeri Sembilan, macam rumah saya ada serambi kecil. Rumah Minang melengkung macam ada tanduk,” katanya.

Mohamad merujuk kepada rumahnya di Rantau, yang bersebelahan dengan markas pilihan raya BN di mana sidang akhbar hari ini diadakan, yang dibina mengikut seni bina Melayu Negeri Sembilan.
Mohamad Hasan bergambar di hadapan rumahnya di Rantau
Sebelum ini, calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram meminta penjelasan Mohamad Hasan berhubung dakwaan calon BN itu memiliki rumah banglo di Seremban 2 yang memiliki rekaan seni bina rumah Minangkabau.

Isu rumah bekas MB itu menjadi perbincangan PRK Rantau selepas Mohamad menyatakan rasa sedih apabila terpaksa meninggalkan kediaman rasminya susulan kekalahan BN pada pilihan raya umum lalu.

Beliau kemudiannya menjelaskan dirinya tidak bermaksud untuk mengatakan tidak mampu membeli rumah.

"Saya kata saya tak ada tempat untuk dituju, bukannya tak ada duit.. Saya lupa beli rumah di Seremban," katanya.

Susulan kenyataan Mohamad itu, tular beberapa gambar dan video di media sosial mendakwa beliau memiliki sebuah banglo di Seremban 2.

PRK Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru yang melibatkan Mohamad, calon Pakatan Harapan Dr S Streram dan dua calon bebas, R Malar dan Mohd Nor Yasin.

Tiada ulasan: