Anggota Majlis Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan berkata menteri undang-undang VK Liew gagal memberikan maklumat betul kepada perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai pindaan perlembagaan untuk mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak.
Ini selepas Rang Undang-undang Persekutuan (Pindaan) 2019 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam gagal mendapat sokongan majoriti undi dua pertiga anggota parlimen.
"Saya tidak salahkan PM kerana yang membuat draf RUU ini adalah menteri undang-undang, Datuk VK Liew yang nyata gagal memahami kehendak sebenar ahli-ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak dalam isu pindaan perlembagaan ini.
"Menteri ini gagal memberi maklumat yang betul kepada PM.
"Kekalahan kerajaan PH dalam pengundian ini bermakna Menteri Undang-Undang tidak membuat “kerja rumah” sebelum PM bentangkan RUU ini. Dia tidak peka terhadap sentimen MP-MP," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Rahman walaupun RUU itu merupakan satu langkah besar Mahathir yang patut diberi pujian, namun ia gagal kerana intipatinya tidak mewakili apa yang Sabah dan Sarawak mahukan.
"Malah ia akan memberi lebih banyak kesulitan kerana tafsiran kandungannya yang tidak menentu," katanya.
Tambahnya, Liew sepatutnya menasihati perdana menteri untuk menerima cadangan anggota-anggota parlimen Sabah dan Sarawak serta beberapa ahli parlimen pembangkang dari semenanjung untuk membawa RUU itu ke Jawatankuasa Pemilih (Select Committee) parlimen.
Katanya beberapa hari ahli-ahli parlimen pembangkang telahpun memberikan isyarat kepada Liew untuk membawa RUU itu ke jawatan kuasa tersebut.
"Tidak ada ruginya kalau dia bersetuju kerana ini adalah RUU yang akan mengubah landskap persekutuan negara kita buat selama-lamanya.
"Kalaulah dibawa ke Select Committee, semua pihak akan menang dan tentunya PM akan mendapat pujian daripada semua pihak," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan