Jumaat, 19 April 2019

Mahkamah benarkan harta bapa Jho Low dituntut Julai depan


   

Mana-mana pihak ketiga yang ingin menuntut dan mempunyai kepentingan terhadap harta bapa Jho Low, Larry Low Hock Peng yang dibekukan serta dikatakan bernilai RM48 juta boleh berbuat demikian Julai depan.

Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan hari ini memutuskan 19 Julai depan bagi tuntutan berkenaan.

Perkara itu diputuskan selepas Timbalan Pendakwa Raya Aaron Abhilash Paul Chelliah memfailkan notis usul bagi mendapatkan perintah untuk satu notis diwartakan di dalam “warta kerajaan persekutuan” di bawah Seksyen 61 (2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Bawah seksyen itu mahkamah memanggil mana-mana pihak ketiga menuntut mempunyai apa-apa kepentingan terhadap wang dalam akaun milik responden untuk hadir ke mahkamah pada tarikh yang ditetapkan bagi menyatakan mengapa harta itu tidak boleh dilucuthakkan.

Kerajaan pada 29 Mac lalu memfailkan notis usul dan afidavit lucut hak ke atas tujuh akaun bank milik Larry dikatakan bernilai RM48 juta.

Menurut laporan The Edge Markets, wang yang mahu dibekukan dan dituntut semula oleh kerajaan dipercayai berpunca daripada 1MDB.

Pemfailan berkenaan dibuat bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram,
Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang membolehkan kerajaan melucutkan hartanah tanpa pendakwaan, kata laporan itu lagi.

Sebelum pemfailan notis itu dibuat, media turut melaporkan hartanah milik keluarga Jho Low di Pulau Pinang disita.

Dalam kenyataan yang dibuat melalui jurucakapnya, Jho Low membidas penyitaan berkenaan sebagai percubaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk mendapatkan modal politik.

Jan lalu, media melaporkan polis juga sedang mencari Hock Peng dan isterinya, Goh Gaik Ewe.

Ogos tahun lalu, Jho Low dan Hock Peng didakwa tanpa kehadiran (in absentia) di Mahkamah Sesyen Putrajaya berhubung penyelewengan dana 1MDB, yang menyaksikan Jho Low berdepan lapan tuduhan pengubahan wang haram, sementara bapanya, berdepan satu tuduhan.


Tiada ulasan: