Jumaat, 19 April 2019

Wawancara Bloomberg - analisis berat sebelah, fakta salah


     
KATA MP l Kredibiliti Bloomberg terjejas apabila seorang UBS yang dianggap sebagai 'ahli ekonomi' tidak dapat membezakan antara defisit belanjawan dengan defisit akaun semasa dijemput untuk memberikan pandangan mengenai Malaysia

Semasa wawancara Bloomberg pada 11 April lalu dengan David Ingles sebagai pengacaranya, saya terpaksa menggelengkan kepala apabila tetamu yang dijemput, Kelvin Tay dari UBS Global Wealth Management memberikan pandangan yang sangat negatif ke atas Malaysia berdasarkan fakta-fakta yang secara terang-terangan adalah salah dan berat sebelah.

Lebihan akaun semasa

Pertama, Tay berhujah bahawa Malaysia mempunyai defisit akaun semasa. Ini agak menakutkan kerana Malaysia sentiasa bangga sebagai negara dengan ekonominya mempunyai lebihan akaun semasa, iaitu nilai eksport kita melebihi import.

Mana-mana penganalisis yang berwibawa tentang Malaysia pasti tahu hakikat itu.

Sebagai contoh, pada tahun 2018, Malaysia mencatat lebihan akaun semasa sebanyak 2.3 peratus daripada KDNK. Memandangkan lebihan perdagangan Malaysia yang sihat setakat ini, baki akaun semasa negara akan kekal berlebihan untuk tahun 2019.

Walau bagaimanapun, Malaysia mengalami defisit fiskal, sesuatu yang lazim bagi negara-negara membangun. Bagi tahun 2018, defisit adalah 3.7 peratus daripada KDNK, sementara ini diunjurkan jatuh kepada 3.4 peratus pada tahun ini. Menteri Kewangan juga menjangkakan defisit fiskal akan menurun lagi kepada 3 peratus menjelang 2020 dan kurang daripada 2.8 peratus untuk 2021.

Kepelbagaian ekonomi Malaysia

Tay juga mendakwa hasil minyak menyumbang 30 peratus daripada KDNK Malaysia.

Ini sama sekali tidak betul. Malaysia diiktiraf oleh agensi penarafan dan komuniti pelaburan sebagai negara yang mempunyai kepelbagaian ekonomi dengan perlombongan (termasuk sektor minyak dan gas), pembuatan dan perkhidmatan masing-masing menyumbang sebanyak 7.9 peratus, 23.0 peratus dan 55.5 peratus kepada KDNK 2018.

Mungkin Tay cuba menunjukkan bahawa pendapatan minyak dan gas dijangka menyumbang kira-kira 30.9 peratus daripada hasil kerajaan bagi tahun 2019.

Sekali pun demikian, pengurus dana UBS gagal menjelaskan bahawa hasil minyak dan gas kepada hasil kerajaan dijangka hanya 22.0 peratus, selepas menolak sepenuhnya dividen khas satu kali daripada Petronas.

Seperti yang diumumkan oleh menteri kewangan dalam ucapan belanjawannya, dividen khas sebanyak RM30 bilion yang ditawarkan oleh Petronas itu adalah untuk membantu kerajaan dalam pembayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan sebanyak RM37 bilion yang tidak didedahkan oleh rejim BN sebelum ini.

Malah, hasil minyak dan gas sebagai peratusan daripada jumlah hasil kerajaan telah menurun sejak beberapa tahun lalu, dengan kemuncaknya pada tahun 2008 iaitu pada 44 peratus.


*TONY PUA adalah anggota parlimen Damansara dan setiausaha politik kepada menteri 

kewangan.

Tiada ulasan: