Jumaat, 12 April 2019

Jajaran ECRL diubah ke Jelebu, perhentian di Gombak dibatal, kata Daim

Pembinaan ECRL akan disambung semula pada kos yang dikurangkan 
sebanyak RM21.5 bilion. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Daim Zainuddin yang mengetuai rundingan semula projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dengan China, berkata jajaran baru projek itu akan meliputi Jelebu di Negeri Sembilan.

Katanya, projek ECRL yang disambung semula pada kos pembinaan lebih rendah, iaitu RM44 bilion akan bermula dari Kota Bharu ke Mentakab di Pahang dan memintas Bentong untuk ke Jelebu di Negeri Sembilan.

Beliau dipetik Bernama sebagai berkata, dari Negeri Sembilan, jajaran itu disambung ke Kuala Klawang, Bangi, Kajang, Putrajaya dan Pelabuhan Klang, ini bermakna perhentian asal di Gombak dibatalkan.

Daim berkata, perbincangan dengan China kali ini hanya mengenai ECRL dan tidak membabitkan isu lain, termasuk pembelian minyak sawit.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan projek ECRL disambung semula dengan kos pembinaan fasa 1 dan 2 dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion.

Katanya, kos asal RM65.5 bilion dikurangkan kepada RM44 bilion susulan pemeteraian perjanjian tambahan antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction Company.

Kerajaan Pakatan Harapan menggantung projek itu sejak Julai 2018 disebabkan kos pembinaan terlalu tinggi.

Tiada ulasan: