Oleh Siti Fatimah Ishak
Peningkatan trend pengundi Melayu tapi undi Cina mungkin menurun
BANGI –
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan
Undangan Negeri (DUN) Rantau mampu menewaskan calon lain, malah mungkin
menang dengan majoriti antara 3,000 hingga 5,000 undian, kata Gerakan
Pengundi Sedar (GPS).
GPS adalah
gerakan yang ditubuhkan pada Oktober 2017 atas kesedaran bahawa rakyat
memerlukan penunjuk arah untuk menghadapi Pilihan Raya Ke-14 (PRU14).
Ahli
Jawatankuasa GPS, Arif Anwar berkata, gerakan itu mendapati Mohamad
Hasan atau Tok Mat akan mengekalkan kemenangan, malah dijangka mendapat
majoriti undi lebih tinggi.
Jangkaan
ini berdasarkan kajian lapangan di kawasan DUN Rantau pada 8 sehingga 11
April lalu menerusi 408 responden, membabitkan semua kaum, jantina dan
umur pengundi serta lokaliti, menggunakan teknik persampelan rawak
berstrata.
Katanya,
hasil dapatan mendapati pengundi Melayu memberi sokongan yang padu
terhadap Tok Mat, dengan 75 peratus pemilih muda bawah 30 tahun
menyokong Timbalan Presiden UMNO itu.
Arif
berkata, walaupun 66 peratus responden dari pengundi Cina menyokong Dr
Streram, mereka juga dilihat mengambil pendirian ‘tunggu dan lihat’
kerana masih buntu menilai prestasi pentadbiran kerajaan PH.
“Hal ini
dapat disimpulkan kerana 55-64 peratus responden cina menjawab ‘tidak
pasti’ untuk soalan ‘adakah anda berpuashati dengan prestasi kerajaan
persekutuan’.
“Oleh itu,
GPS meramalkan bahawa peratusan keluar mengundi bagi masyarakat Cina
rendah. Malah, trend ini terbukti sejak PRK Semenyih lagi,” katanya.
Mengulas
lanjut, Arif berkata, baki 34 peratus pengundi Cina yang menyatakan
berpuas hati dengan pentadbiran Tok Mat sebelum ini masih belum boleh
menjamin kemenangan bergaya BN, kerana secara keseluruhan hanya 47
peratus pengundi Cina yang menyatakan kesediaan untuk keluar mengundi.
Namun,
katanya, pengundi India secara umumnya ramai yang cenderung untuk
mengundi Dr Streram iaitu sebanyak 59 peratus, malah jumlah pengundi
India yang masih atas pagar juga adalah signifikan.
“Apa yang
dapat disimpulkan, Dr Streram dijangka sukar untuk menang PRK ini, malah
majoriti Tok Mat bertambah banyak 3,000 hingga 5,000 undi kerana
sokongan padu pengundi Melayu, dan pengundi Cina kurang turun mengundi.
Trend pengundi Cina berterusan dari PRK Semenyih yang menyaksikan kaum
mereka teragak-agak untuk menilai sesuatu isu,” katanya.
GPS yakin
trend PRK Semenyih sememangnya merebak ke PRK Rantau, khususnya untuk
pengundi Melayu dan Cina, cuma pada PRK kali ini ia menunjukkan
peningkatan trend pengundi Melayu kerana kerusi ini ditandingi ‘giant
leader’.
“Sekiranya
benar Tok Mat menang, ia menjadi satu petanda bahawa pengundi Melayu
luar bandar menolak PH dan tidak terkesan dengan momokan kesatuan
UMNO-PAS. Ini satu perkara yang harus difikirkan secara serius oleh PH
menjelang PRU15 nanti,” katanya.
Esok,
menjadi penentu selepas hampir dua minggu kempen, menyaksikan
pertembungan empat penjuru antara calon Tok Mat, Dr S Streram dan dua
calon bebas iaitu suri rumah, R. Malarvizhi dan bekas pensyarah, Mohd
Nor Yassin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan