Isnin, 15 April 2019

Hadi turut sumbang kemenangan Mat Hasan

MALAYSIAKINI

   

PRK RANTAU | Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan kehadiran Presiden PAS, Abdul Hadi Awang ketika kempen PRK turut memberi sumbangan kepada kemenangan calon mereka, Mohamad Hasan.

Selain itu, katanya, jentera PAS dan kehadiran Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di Negeri Sembilan juga dilihat sebagai satu formula "penyatuan ummah" yang memenangkan calon pembangkang.

"Tahniah dan terima kasih juga kepada semua pengundi serta jentera PAS khususnya DHPP.

"Kehadiran Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang turut berkempen juga menggamit lautan hadirin dengan pidato yang bernas.

"Inilah formula penyatuan ummah yang dinantikan rakyat selama ini," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam pemangku presiden Umno Mohamad Hasan mempertahankan kerusi yang diwakilinya sejak 2004 selepas mengetepikan tiga pencabar lain, termasuk calon PH, Dr S Streram.

Mohamad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan itu mengekalkan kerusi Rantau dengan majoriti 4,510 undi.

Sebelum Rantau, pembangkang juga mengekalkan kerusi parlimen Cameron Highlands dan merampas kembali kerusi DUN Semenyih pada dua PRK yang terakhir.

Untuk rekod PAS dengan Umno adalah seteru politik yang bertelagah sejak sekian lama.

Namun, kedua-dua parti itu menjalinkan kerjasama atas nama kepentingan Islam selepas BN tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Sementara itu Ahmad Samsuri yang pengarah Pilihan Raya PAS Pusat berkata, kemenangan Mohamad adalah manifestasi pilihan rakyat yang ingin menuntut supaya kerajaan menunaikan manifesto yang dijanjikan.

"Isyarat rakyat adalah jelas - dengan komposisi pelbagai kaum yang agak seimbang, rakyat tetap membuat pilihan yang bijak," katanya.


Tiada ulasan: