OLEH :PROF DR RIDHUAN TEE ABDULLAH
Rakyat sudah benci, muak, getik dan meluat dengan pakatan
PRK
Rantau dua hari lepas dan beberapa PRK yang lalu, jelas memberikan satu
lagi isyarat kepada Pakatan Harapan (PH) bahawa rakyat mula benci,
muak, getik dan meluat dengan gelagat sebahagian daripada mereka yang
berada dalam tampuk kuasa.
Saya amat
yakin jika berlaku PRU15 dalam sebulan dua ini dalam kawasan bukan
majoriti ultra kiasu, belum tentu PH akan kekal. Tidak mustahil akan
tumbang daripada tampuk kekuasaan.
Sekali
pandang, nampak sebahagian pemimpin PH ini macam pandai, tetapi
bertindak tidak menampakkan kepandaiannya. Menjadi bahan ketawa dan
jenaka.
Tidak
kurang yang cuba berpantun dan berseloka serta memetik kata-kata hikmah
cerdik pandai ketika perbahasan di Parlimen, bagi menunjukkan mereka
hebat dan mempunyai daya intelektual yang tinggi kononnya, malangnya
semua itu tidak dapat menarik perhatian. Aura dan faktor ummphh itu
tidak ada.
Kata-kata
yang dihamburkan bagai angin berlalu, tidak ada kesan, malah semakin
menjadikan rakyat rasa benci, meluat, getik dan menyampah. Kenapa?
Jawapannya, politik penuh kepura-puraan dan hipokrit.
Kerap kali
juga saya mendengar speaker ultra kiasu cuba memperlihatkan
kehandalannya berpantun, tetapi bait-bait kata yang diungkapkan begitu
hambar. Lebih menjadikan kita meluat untuk mendengar. Kenapa? Tidak ada
penghayatan atas pantun yang dibaca. Tidak nampak penghayatan bahasa.
Untuk
makluman ultra kiasu, Bahasa Melayu ini seni dan indah. Mempelajarinya
memang mudah, tetapi menghayatinya belum tentu. Pantun, syair, seloka,
lagu dan apa jua sastera Melayu perlu kepada penghayatan bahasa sebelum
ia boleh dimuntahkan.
Bukan setakat membaca dan menghafal. Hari ini sukar sangat mencari penyanyi dan pelakon bukan Melayu untuk mendendangkan bahasa indah ini.
Sebab itu,
kita amat ragu, kadang-kadang kelihatan ramai pelajar SPM bukan Melayu
mendapat A atau A+ mata pelajaran Bahasa Melayu. Tetapi apabila tiba
kepada penghayatan bahasa, dimuntahkan, ternyata jauh berbeza dengan
keputusan cemerlang yang diperoleh. Rupa-rupanya keputusan cemerlang
yang diperoleh disebabkan oleh kepandaian mereka menghafal.
Ini
sebahagian daripada proses pembinaan negara bangsa yang sedang berlaku.
Bahasa negara dipelajari bukan kerana kewajipan sebagai warganegara.
Tetapi hanya untuk memenuhi syarat dan mendapat sijil penuh serta
cemerlang dalam peperiksaan. Akhirnya, kita hanya melahirkan warga dan
pemimpin politik penuh kepura-puraan jauh daripada keikhlasan.
Sebab itu,
apabila kita mengikuti perbahasan di Parlimen, lihatlah gelagat dan
telatah mereka. Hebat sekali rupanya mereka berlakon. Jika ada anugerah,
wajar diberikan kepada wakil rakyat ultra kiasu ini, terutama lakonan
menteri menangis di atas pentas.
Nasihat saya, jika ingin kekal lama tampuk kekuasaan, elok teliti beberapa perkara berikut:
Pertama,
fokus kepada manifesto PH. Janji dikota. Jangan kokok berderai-derai
ekor bergelumang tahi. Rakyat masih menanti-nanti bilakah tol dan PTPTN
mahu dihapuskan. Begitu juga dengan harga barang dan harga minyak yang
masih lagi tinggi. Harga komoditi masih lagi rendah, serendah nilai
ringgit;
Kedua,
hentikan politik tuding jari. Jari tengah perlu menuding kepada diri
sendiri. Mereka sudah pun didakwa dan biarkanlah mahkamah yang
menjatuhkan hukum. Seseorang yang dituduh itu dianggap tidak bersalah
sehingga dibuktikan bersalah. Tidak usahlah lagi menyalahkan regim
terdahulu disebabkan oleh kelemahan dan kekurangan sendiri. Hentikanlah
politik ini dengan segera kerana rakyat sudah cemoi, muak, getik dan
meluat;
Ketiga,
kurangkan cakap perkara merapu. Dahulukan rakyat dan utamakan
pencapaian. Dahulu kita ketawakan menteri kerajaan terdahulu bercakap
jika harga ikan naik, jangan makan ikan, begitu juga dengan ayam. Tol
naik, jangan guna jalan bertol, gunakan jalan lama.
Sekarang
apabila berkuasa, macam mana? Cuba nilai kembali kata-kata kita seperti
menoreh getah di musim tengkujuh, menanam buluh di ladang sawit. Saya
tidak mahu komen mengenai warna kasut. Cukuplah sekadar memberi satu dua
contoh;
Keempat,
jangan mengata dulang paku serpih, mengata orang, sendiri yang lebih.
Selain ahli Lembaga Pengarah YADIM yang menjadi sarang orang politik,
institusi awam yang lain tidak terlepas, termasuk lembaga pengarah
universiti dipenuhi dengan orang politik. Apakah PH sudah lupa dengan
janji-janji tidak akan mempolitikkan institusi awam. Profesional yang
dilantik sekadar memenuhi syarat. Orang politik paling ramai; dan
Kelima,
jangan biarkan perut rakyat kosong. Pastikan tidak ada yang mengikat
perut. Macam-macam perkara boleh berlaku apabila perut lapar.
Sentiasalah bergaul dengan orang-orang yang lapar, tidak pernah cukup
makan. Jangan asyik bergaya dengan kereta rasmi, pengawal peribadi,
jaket dan blazer orang putih. Sekali-sekala kena berkain pelikat
gombang. Rasai derita orang kampung.
Banyak
lagi nasihat lain yang boleh disenaraikan. Cukuplah sekadar ini dahulu
untuk ditimbangkan sebelum berlaku lagi PRK yang lain. Tidak mustahil
jika berlaku lagi PRK di kawasan majoriti Melayu sekitar 50 peratus, PH
akan kecundang lagi meskipun sebelum ini, kerusi itu milik asal mereka
seperti Semenyih.
Akhirnya,
sebelum menutup kalam, jika PH terus mengundang masalah demi masalah
setelah peringatan demi peringatan diberikan, termasuk tindakan yang
mahu dikenakan terhadap empat ahli akademik dalam isu Statut Rom,
bermakna, Yang Maha Berkuasa tidak mahu kita kekal lama dalam tampuk
kuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan