Yusmizal Dolah Aling
BELUM reda isu bazar Ramadan Jalan Tuanku Abdul Rahman yang menimbulkan kekecohan, timbul pula dakwaan ‘ejen’ tapak sudah mula menggerakkan operasi mereka untuk menjual tapak bazar pada harga tertentu berikutan permintaan yang tinggi.
Mereka dikatakan mengambil kesempatan di atas isu terbabit dan mula aktif ‘berniaga’ dengan membuat tawaran kepada pemohon lain biarpun pihak berwajib sebelum ini komited untuk menyelesaikan isu orang tengah.
Aktivis masyarakat, Ghulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, persoalan itu timbul selepas pihaknya menerima aduan daripada individu yang menawarkan tapak niaga dengan harga tertentu.
“Sejak mula lagi, kita terima aduan mengenai wujud ‘ulat’ yang menawarkan khidmat mengisi pendaftaran secara online antara RM100 hingga RM500. Itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia sebenarnya boleh diisi oleh sesiapa saja.
“Sekarang, isu ejen jual petak pula. Kalau sebelum ini,timbul isu persatuan penjaja yang mengenakan caj tinggi ketika menguruskan petak bazar, ini siapa pula?
“Kita tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku, tetapi isu ini penting untuk semua. Kalau dulu, masa persatuan diberi ruang untuk menyelaras, tidak timbul isu ini, kenapa sekarang selepas dikendalikan semula Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), masih ada perkara berbangkit mengenainya,” katanya kepada Harian Metro.
Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak berniat untuk mematikan persatuan peniaga seperti yang didakwa sesetengah pihak, malah mahu memastikan peniaga tidak terus terbeban dan pada masa sama memelihara hubungan dengan persatuan.
Katanya, DBKL hanya uruskan lima lokasi, manakala 50 lokasi lagi persatuan dibenarkan untuk mengurus tapak dan mereka ada hak jalankan kerja-kerja penyusunan, pembersihan dan pengurusan secara umum.
Sementara itu, Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Kuala Lumpur Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, pihaknya tetap dengan keputusan membantah perpindahan lokasi dari Jalan Tuanku Abdul Rahman ke Jalan Raja atas beberapa faktor yang perlu diberi pertimbangan khusus.
Katanya, dari segi ekonomi kawasan terutama sekitar Masjid India lebih terserlah kerana terletak di kawasan tumpuan untuk membeli belah, khususnya musim perayaan.
“Bukan itu saja, dari segi lokasi, Jalan Raja juga terletak agak jauh dan tiada kemudahan seperti hotel bajet untuk peniaga menyimpan stok barangan seperti sebelum ini.
“Kita juga harap 50 lokasi yang akan diberikan untuk diuruskan diserahkan terus kepada persatuan. Walaupun kurang jelas apa yang menteri maksudkan, tapi kita harap persatuan diberikan hak untuk uruskan dari mula sampai habis.
“Contohnya, Bazar Kampung Pandan, kita dulu bagi khemah, sekarang DBKL hanya bagi tempat. Kita juga buat pembersihan, kita bayar kepada Alam Flora, tidak timbul persatuan tak bersihkan kawasan. Jadi, kita harap menteri panggil persatuan untuk kita bincang dan cari jalan penyelesaian,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan