Jumaat, 5 April 2019

Dr Streram cuma doktor cucuk orang tidur – Najib

Muhammad Azizul Osman
MGF04042019_NAJIB-SANTAI-BOSSKU08-2-681x454
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan sebahagian orang ramai yang hadir pada Program Santai bersama 'Bossku' sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Restoran Syamiera Corner di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL
 

SENDAYAN – Datuk Seri Najib Razak bersifat sinikal dengan calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram.

Bekas Perdana Menteri itu membanding Streram dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan yang pada pandangannya ‘jauh panggang dari api’.

“Antara Streram dengan Mad Hasan siapa lebih elok? Mad Hasan lebih elok, elok keseluruhanya.

“Siapa lagi pandai Streram, Dr cucuk (pakar bius) bagi orang tidur, jadi semua orang tidur nanti,” selorohnya dalam Program Santai bersama ‘Bossku’ di Restoran Syamiera Corner di Bandar Sri Sendayan, semalam.

Ini kali pertama Najib turun dalam siri kempen bagi PRK DUN Rantau selepas enam hari tempoh berkempen.

Kata Najib, pengundi harus memilih orang yang berpengalaman untuk menjadi wakil rakyat di Rantau dan Mohamad adalah individu yang paling layak bagi menguruskan kawasan ini.

“Kita nak orang berpengalaman, (pernah) jadi Menteri Besar yang ada banyak pengalaman bangunkan negeri dan hari ini menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO,” katanya di hadapan lebih 500 penyokong beliau.

Najib kemudiannya ke Felda Sendayan bagi bertemu penyokong dan pengundi di kawasan itu.

Bagaimanapun Mohamad tidak hadir kedua-dua acara yang melibatkan bekas Presiden UMNO itu kerana berkempen di Mambau.

Mohamad dan Dr Stream adalah antara empat calon PRK DUN Rantau yang merebut kerusi itu pada pilihan raya kali ini.

Selain mereka, terdapat dua lagi calon daripada bebas iaitu R. Malar dan Mohd Nor Yassin.

PRK DUN Rantau berlangsung pada 13 April depan dengan undi awal diadakan pada 9 April depan. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: