Sabtu, 13 April 2019

Di malam terakhir kempen, BN anjur munajat dan solat hajat


   

PRK RANTAU | Di malam terakhir kempen PRK DUN Rantau, BN dan PAS mengadakan majlis munajat dan sembahyang hajat bagi memohon kemenangan Mohamad Hasan.

Kira-kira 250 hadirin berkumpul di padang di belakang rumah calon BN itu untuk program tersebut.

Imam sembahyang hajat, dalam doanya, memohon agar Allah mengekalkan Mohamad - bekas menteri besar Negeri Sembilan - kekal menjadi wakil rakyat mereka.

"Semoga hamba-Mu Mohamad Hasan akan menjadi wakil kepada kami sekalian, ya Allah.

  Kurniakanlah kemenangan untuk kami langsungkan tanggungjawab kami sebagai muslim di atas muka bumi ini.

"Ya Allah, janganlah menangkan mereka yang menjadi penentang dan musuh-Mu," kata imam itu.

DUN Rantau mempunyai 20,804 pengundi berdaftar. Esok mereka akan memilih sama ada Mohamad, calon PKR Dr S Streram atau dua calon Bebas, R Malar dan Mohd Nor Yasin sebagai wakil rakyat baru DUN itu.

Ketika ditemui pemberita selepas program, Mohamad berkata beliau yakin akan mendapat kemenangan tetapi enggan mengatakan sama ada dia menyasarkan kemenangan besar atau sebaliknya.

"Janji menang cukuplah. Menang 10-0 atau 1-0, janji dapat tiga mata," katanya.

Jika Mohamad Hasan menang esok, ia bermakna BN mencatat hatrik selepas PRK Cameron Highlands dan Semenyih.

Tinjauan Malaysiakini mendapati kebanyakan pengundi akan membuat pilihan sama seperti undian mereka untuk Parlimen Rembau pada PRU ke-14.

Ini bermakna PRK esok akan menyaksikan persaingan sengit antara Mohamad dan Streram.

PRK ini diadakan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding Mohamad pada PRU lalu tidak sah dan terbatal.

Ia selepas Streram - juga dicalonkan PH untuk PRU ke-14 - dihalang daripada menghantar borang pencalonan ketika hari penamaan calon pada 28 April 2018.


Tiada ulasan: