PRK RANTAU | Seorang calon bebas cuba menyertai ceramah PH di bandar Rantau malam ini dengan memohon agar dibenarkan untuk menyerahkan manifestonya kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.
R Malarvizhi muncul di majlis sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan PKR sebentar tadi. Anwar adalah antara tetamu yang hadir di situ.
Bagaimanapun hajat Malarvizhi, 51, tidak kesampaian apabila dia ditahan anggota polis dan petugas PKR daripada memasuki majlis tersebut.
Sementara itu Malarvizhi berkata sebagai calon dalam PRK Rantau dia berhak untuk menyampaikan manifestonya kepada Anwar.
“Namun, saya dihalang dan diusir begitu sahaja. Inilah keadilan yang diamalkan oleh PKR,” katanya kepada pemberita.
Anwar yang juga anggota parlimen Port Dickson turut disertai Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden PRK, Azmin Ali, Sasterawan Negara A Samad Said serta beberapa pemimpin kanan PH.
Antaranya ialah veteran DAP Lim Kit Siang, Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Dr Rais Yatim dan tidak ketinggalan calon PH Dr S Streram.
Selepas gagal menunaikan hajatnya, Malarvizhi - yang juga bekas penyampai radio di Kanada - mengangkat tinggi kertas maniesto yang dibawanya untuk dilihat orang ramai.
Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan