Ahad, 21 April 2019

Barisan baru exco Johor diumum esok, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin (kanan) bersama Sahruddin Jamal dilaporkan 
menghadap Sultan Johor untuk menyerahkan senarai barisan 
exco Johor baru di Istana Pasir Pelangi, pagi tadi. (Gambar Twitter)
 
ISKANDAR PUTERI: Barisan exco Johor yang baru dijangka diumumkan esok, kata Pengerusi Pakatan Harapan Johor, Muhyiddin Yassin.

Presiden PPBM itu berkata, senarai itu sudah dikemukakan serta mendapat persetujuan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam pertemuan di Istana Pasir Pelangi, pagi tadi.

“Menteri Besar (Dr Sahruddin Jamal) sudah sampaikan senarai barisan exco yang dijangka dilantik semula esok, dah diperkenankan dan saya bersyukur kerana setelah terbentuknya barisan exco, maka pentadbiran negeri akan berjalan lebih lancar,” katanya selepas pertemuan dengan Sahruddin di pejabat menteri besar di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Sahruddin yang juga setiausaha PPBM negeri itu dilantik sebagai menteri besar Johor ke-17 Ahad lalu, menggantikan Osman Sapian yang meletak jawatan selepas hanya 11 bulan menerajui kerajaan negeri.

Dilaporkan susulan pelantikan Sahruddin, rombakan exco Johor dengan beberapa nama dijangka digugurkan.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga menteri dalam negeri meluangkan kira-kira sejam menemui Sahruddin di pejabatnya.

Ahli Parlimen Pagoh itu bersama Sahruddin dilaporkan menghadap Sultan Ibrahim bagi menyerahkan senarai barisan exco Johor baru.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yakin Sahruddin mampu menerajui kerajaan negeri dengan baik, meskipun masih baru dalam kerajaan negeri.

Mengenai kedudukan Osman sebagai pemangku pengerusi PH Johor, Muhyiddin berkata, perkara itu akan diteliti semula pucuk pimpinan tertinggi PH.

Tiada ulasan: