PORT DICKSON – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim
berkata, beliau belum menerima laporan lengkap post-mortem Pilihan Raya
Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau termasuk dakwaan unsur
sabotaj oleh anggota parti pada pemilihan yang berlangsung 13 April
lepas.
“Setakat ini hanya ada laporan awal,” katanya kepada
pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Bumi Sedunia peringkat DUN
Bagan Pinang yang disambut serentak dengan Hari Ladang Pejabat Pertanian
Port Dickson di sini, hari ini.
Katanya, laporan itu akan disediakan oleh Pengarah PRK DUN Rantau yang juga Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pada 13 April lepas, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan
Harapan (PH) dan PKR Negeri Sembilan dilaporkan berkata siasatan akan
dijalankan jika ada laporan mengenai dakwaan unsur sabotaj yang
menyebabkan kekalahan PH pada PRK berkenaan.
Pada PRK itu, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Timbalan
Presiden UMNO mempertahankan kerusi DUN Rantau buat penggal keempat,
menewaskan tiga pencabarnya termasuk Dr S. Streram yang mewakili PH dan
dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd
Nor Yassin.
Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan menang dengan majoriti 4,510 undi.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan