Ahad, 24 Mac 2019

Sultan Ibrahim: Jangan persoal kuasa negeri terhadap hutan, tanah, dan Islam

MALAYSIAKINI

   

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam titah ucapan sempena hari keputeraan mengingatkan bahawa baginda mempunyai hak dan kuasa ke atas sumber air, hutan dan tanah, selain perkara berhubung agama Islam.

"Suka saya tegaskan di sini bahawa negeri Johor adalah sebuah negeri yang merdeka dan berdaulat, lebih awal daripada persekutuan tanah Melayu atau pun Malaysia.

"Kedaulatan itu bermakna negeri Johor mempunyai hak dan kuasa dalam melaksanakan perkara-perkara yang diperuntukkan oleh perlembagaan negeri dan persekutuan.

"Oleh itu, saya sebagai raja dan pemerintah utama negeri, mempunyai hak dan kuasa ke atas kerajaan saya, dan memikul tanggungjawab untuk menjaga negeri Johor dan rakyat yang bernaung di dalamnya.

"Kuasa negeri terhadap agama Islam, sumber air, hutan dan tanah tidak perlu dipersoalkan lagi," titah baginda.

Sultan Johor itu juga mengingatkan bahawa tindakan menyentuh kuasa raja atau kerajaan negeri dianggap melanggar undang-undang negara.

"Raja sebagai pemerintah negeri pula mempunyai keistimewaan yang termaktub dalam undang-undang dan bertanggungjawab menjaga kesucian agama Islam sebagai agama negeri dan keistimewaan orang Melayu sebagai bumiputera.

"Mana-mana pihak yang telah menyentuh hak dan kuasa raja atau kerajaan negeri, adalah melanggar undang-undang negara dan boleh dianggap sebagai penderhaka," titah baginda.

Pihak istana Johor sebelum ini terlibat dalam kontroversi berhubung status Pulau Kukup sebagai taman negara.

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata tanah kawasan itu akan ditukar sebagai "Tanah Kesultanan" dan kekal sebagai taman negara.

Susulan itu, Sultan Ibrahim bertitah agar Pulau Kukup digazetkan sebagai taman negara menurut Jadual II Enakmen Tanah Kesultanan 1934.

Bagaimanapun, warta pada 31 Jan menyatakan bahawa kerajaan negeri mengenakan Subseksyen 3(4) Taman Negara (Johor) Enakmen Perbadanan Taman Negara 1989.

Pulau Kukup merupakan salah satu kawasan yang diiktiraf Ramsar Convention on Wetlands of International Importance yang disertai Malaysia.

Dua yang lain adalah hutan paya bakau Sungai Pulai dan Tanjung Piai.

Dalam laporan khas bulan lalu, Malaysiakini mendedahkan bagaimana kerajaan Johor pada 2017 membenarkan sebahagian hutan paya bakau Sungai Pulai dijadikan resort golf dengan keluasan 800 hektar.

Percubaan untuk mengenal pasti pemilik tanah berkenaan dan statusnya gagal.

Pemilik projek Country Gardens Pacificview Sdn Bhd juga tidak membalas permintaan untuk memberi ulasan.


Tiada ulasan: