Pengundi Rantau akan mengundi pada 13 April ini. Berikut adalah tiga fakta pilihan raya yang mungkin kurang diketahui tetapi boleh menentukan pemenang kerusi pilihan raya kecil itu.
1. BN tewas di Rantau pada PRU14
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan memenangi kerusi DUN Rantau tanpa bertanding pada hari pencalonan pilihan raya umum ke-14 jadi bagaimana BN mungkin kehilangan kerusi itu?
Pada pilihan raya umum, pengundi diberi dua kertas undi, satu untuk kerusi negeri dan satu lagi untuk kerusi Parlimen.
Walaupun Mohamad Hasan memenangi kerusi negeri tanpa bertanding, pengundi Rantau masih mengundi pada pilihan raya umum ke-14 untuk memilih ahli Parlimen mereka.
Rantau adalah satu daripada empat kerusi negeri di bawah Parlimen Rembau. Pada pilihan raya umum ke-14, BN memenangi kerusi parlimen ini dengan majoriti 4,364 undi, pengurangan ketara daripada majoriti 18,357 undi yang diperoleh pada 2013.
2. Pengaruh PAS kurang ketara di Rantau
Kerjasama Umno dengan PAS secara signifikan menghidupkan kembali peluang parti nasionalis Melayu itu dalam dua pilihan raya kecil lalu iaitu di Cameron Highlands dan Semenyih.
Walau bagaimanapun, faktor itu mungkin tidak akan berperanan penting di Rantau kerana pengaruh PAS di Rantau adalah kurang ketara.
Sebagai perbandingan, PAS memperoleh 14.72 peratus undi di Cameron Highlands dan 15.09 peratus undi di Semenyih semasa pilihan raya umum ke-14.
Hampir keseluruhan undi berkenaan dipindahkan kepada BN semasa dua pilihan raya kecil.
Bagaimanapun, PAS hanya berjaya meraih 4.55 peratus undi di Rantau semasa pilihan raya umum ke-14.
3. Rantau adalah kerusi dengan pengundi masyarakat India yang kelapan tertinggi
Rantau adalah kerusi pilihan raya negeri dengan bilangan pengundi India yang kelapan tertinggi di kalangan 505 kerusi DUN di negara ini.
Dengan kira-kira 27 peratus, kerusi majoriti India ini hanya di bawah kerusi Buntong, Sentosa, Perai, Jeram Padang, Sri Tanjung, Hutan Melintang dan Jalong.
Di antara pusat daerah mengundi yang mempunyai ramai masyarakat India di Rantau adalah Linsum dan Pekan Sagga.
Sukar buat PH
Rantau adalah tempat kelahiran Mohamad Hasan dan beliau adalah penyandang kerusi DUN itu sejak tahun 2004.
Beliau juga pernah menjadi menteri besar Negeri Sembilan dari tahun 2004 hingga tahun lalu, apabila BN tumbang di negeri itu pada pilihan raya 9 Mei lalu.
Beliau memenangi kerusi itu tanpa bertanding untuk penggal keempat dalam PRU14 selepas pegawai pengurus pilihan raya menghalang pencabarnya Dr S Streram dari memasuki pusat pencalonan untuk memfailkan kertas pencalonnya pada hari penamaan calon.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan