Rabu, 20 Mac 2019

Perhimpunan 9 Mac bukan perhimpunan LGBT - Kasthuri Patto

Rahimah Abdullah, Astro Awani
Perhimpunan 9 Mac bukan perhimpunan LGBT - Kasthuri Patto
Pada 9 Mac lalu, Warga kota terkejut dengan kehadiran peserta yang ramai dalam perhimpunan tersebut yang memulakan perarakan dari pusat beli belah Sogo hingga ke Masjid Jamek.- Gambar fail/Astro AWANI
 
 
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto menegaskan perhimpunan sempena Hari Wanita Sedunia di ibu negara 9 Mac lalu bukan perhimpunan menyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender, LGBT.

Beliau menegaskan perkara itu sebagai membidas kritikan beberapa ahli Parlimen semasa  sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja di dewan rakyat termasuk Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad.

“Ia bukan himpunan LGBT. Ia adalah himpunan wanita tetapi mungkin ada kalangan rakan lain yang telah menyertai termasuk golongan OKU . Apa-apa pun saya akan biarkan menteri untuk menjawab,” katanya semasa sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja di dewan rakyat.
 
Malah katanya, himpunan wanita itu sebagai menuntut hak sama rata untuk golongan wanita.

“Pada 9 Mac lepas, kira-kira seribu rakyat Malaysia warga marhain telah mengambil bahagian dalam satu perhimpunan aman sempena Hari Wanita Sedunia yang menuntut untuk memerangi keganasan terhadap gender untuk memerangi perkahwinan kanak-kanak, hak wanita untuk hak gaji sama rata, gaji minima RM1,800 dan seruan untuk membina sebuah demokrasi yang teguh,” tambahnya.

BACA: Perarakan LGBT menghairankan alam haiwan - Mufti Perlis

BACA: Polis terima aduan, sedang siasat perarakan LGBT di ibu negara

Beliau dalam pada itu turut menafikan penganjur tidak memberikan notis kepada pihak polis untuk mengadakan himpunan itu.

“Namun, mereka berdepan cabaran kerana dipanggil polis walaupun telah berikan notis 10 hari kepada polis walaupun pihak polis menafikannya. Mungkin polis sebelum ini tidak arif mengenai Akta Perhimpunan Awam yang diluluskan pada zaman BN pada 2012. Selepas asakan PH untuk reformasikan pendekatan kerajaan yang diambil terhadap Perhimpunan Aman. Tahniah PH,” katanya lagi.

Pada masa sama, kerajaan diharap meneliti tuntutan kumpulan wanita berkenaan selaras dengan kepercayaan diberikan rakyat kepada pihak pentadbiran. 
 
 

Tiada ulasan: