Amanah Selangor berpendapat layanan istimewa dan suntikan dana yang diberikan kerajaan terhadap syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines (MAS) wajar dihentikan.
Ketua Pemudanya Abbas Azmi berkata, sebaiknya jalan yang terbaik untuk menyelamatkan MAS ialah menjual syarikat tersebut kepada pengendali komersial yang berpengalaman dalam bidang penerbangan.
Katanya, MAS itu bukan saja sedang mengalami kerugian tetapi ia turut 'menelan' banyak duit pembayar cukai yang sepatutnya boleh disalurkan kepada inisiatif yang lebih menguntungkan rakyat.
"Sebagai perbandingan, RM30 bilion dianggarkan dapat membina lebih 500 buah sekolah di seluruh negara.
"Namun, Pemuda Amanah Selangor juga berpandangan, penutupan MAS tetap tidak wajar kerana ia melibatkan punca penghidupan kira-kira 13,000 pekerja.
"Pada masa sama MAS masih memiliki reputasi yang baik dalam kalangan pengguna, selain mempunyai banyak aset berharga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sedang mengkaji sama ada mahu menutup, menjual atau membiayai semula MAS yang berdepan masalah kewangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan